KONSEP biophilic antara pelengkap reka bentuk landskap selari pembangunan bandar pintar.
KONSEP biophilic antara pelengkap reka bentuk landskap selari pembangunan bandar pintar.
Hartini Mohd Nawi

Arkitek tersohor dunia, Frank Lloyd Wright mengakui tanpa seni bina, kita tidak mempunyai jiwa ketamadunan.

Apabila kedua-duanya digabungkan, ia menjadi satu keperluan praktikal untuk menzahirkan seni budaya.

Lantas tokoh ini terkenal dalam mengintegrasikan reka bentuk binaan manusia dengan alam semula jadi.

Menampilkan reka bentuk biophilic, binaan rumah pada 1935 itu dikatakan siap sepenuhnya pada 1939 di atas air terjun yang dinamakan Fallingwater di Pennsylvania, Amerika Syarikat yang cukup menarik perhatian dunia.

PERSEKITARAN yang semula jadi sangat diperlukan dalam melengkapkan gaya hidup kita.
PERSEKITARAN yang semula jadi sangat diperlukan dalam melengkapkan gaya hidup kita.

Fallingwater dilihat berkonsepkan rekaan yang dekat dengan alam dan Frank pula berjaya mengadaptasikan karyanya itu sebaik mungkin.

Aspek pemilihan material membabitkan ketelitian, kesederhanaan dan penghargaan terhadap alam sekitar.

Kebanyakan material binaan turut diambil dari kawasan sekitar dan dieksploitasi secara bijak.

Menurut Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, reka bentuk biophilic adalah pendekatan kaedah inovatif dalam seni bina ciptaan manusia seperti bangunan dan landskap yang bertujuan menonjolkan ruang kehidupan lengkap termasuk bekerja serta belajar.

DR OSMAN
DR OSMAN

“Ini kerana persekitaran yang semula jadi sangat diperlukan dalam melengkapkan gaya hidup kita.

“Perkataan ‘biophilia’ bermaksud cinta kepada kehidupan atau benda hidup. Malah perkataan itu dikatakan berasal daripada bahasa Yunani.

“Trend biophilic dalam seni bina landskap hijau dilihat mampu mengurangkan kesan persekitaran terhadap alam sekitar yang dibina selain mengimbangi pembangunan mampan.

“Pada masa sama, reka bentuk bangunan biophilic juga menghubungkan manusia dengan alam,” katanya yang juga ‘Ex Officio’ Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) itu.

IDEA seni bina landskap selari pembangunan mampan.
IDEA seni bina landskap selari pembangunan mampan.

Jika hospital mengetengahkan trend biophilic, dikatakan ia mampu membantu lebih cepat penyembuhan pesakit, di sekolah pelajar mencapai keputusan cemerlang, di pejabat pekerjanya lebih produktif dan komuniti di kawasan anda pula lebih mengenali jiran dan keluarga.

Pendek kata, reka bentuk biophilic mewujudkan persekitaran yang sihat dan produktif untuk zaman moden ini.

MEMPERLIHATKAN integrasi reka bentuk hubungan alam dan manusia.
MEMPERLIHATKAN integrasi reka bentuk hubungan alam dan manusia.

“Bangunan biophilic turut menggabungkan pencahayaan, pengudaraan dan ciri-ciri landskap semula jadi dengan elemen lain bagi mewujudkan lingkungan yang lebih produktif.

“Tidak dinafikan, reka bentuk berkenaan dapat membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan kreativiti dan pemikiran rasional, meningkat kesejahteraan dan mempercepatkan penyembuhan.

“Populasi penduduk dunia yang cenderung hidup di kawasan bandar dan mudah terdedah dengan pelbagai cabaran, meletakkan reka bentuk biophilic antara yang penting serta harus diberi perhatian,” katanya.

KAJIAN turut membuktikan pelbagai faedah dimanfaatkan menerusi seni bina landskap biophilic.
KAJIAN turut membuktikan pelbagai faedah dimanfaatkan menerusi seni bina landskap biophilic.

Malah menurutnya, konsep biophilic antara pelengkap reka bentuk landskap selari pembangunan bandar pintar di negara ini yang dirancang kerajaan menjelang tahun 2030.

“Kajian turut membuktikan pelbagai faedah dimanfaatkan menerusi seni bina trend biophilic ini.

“Reka bentuk pejabat umpamanya, produktiviti meningkat 80 peratus, kadar kesejahteraan meningkat sebanyak 13 peratus, selain peningkatan kreativiti dan mengurangkan ketidakhadiran pekerja.

TREND biophilic dalam seni bina landskap hijau dilihat mampu mengurangkan kesan persekitaran terhadap alam sekitar.
TREND biophilic dalam seni bina landskap hijau dilihat mampu mengurangkan kesan persekitaran terhadap alam sekitar.

“Begitu juga dengan reka bentuk hotel apabila tetamu bersedia membayar lebih 23 peratus untuk bilik atau ruang penginapan dengan pemandangan berlatarkan elemen biophilic.

“Sama juga dengan ruang pendidikan di mana peningkatan kadar pembelajaran antara 20 hingga 25 peratus, keputusan peperiksaan meningkat, tahap tumpuan dan kehadiran pelajar juga meningkat.

“Tidak terkecuali ruang penjagaan kesihatan, ruang untuk peruncitan dan kediaman anda sendiri yang memperlihatkan pelbagai keistimewaan apabila konsep ini diketengahkan,” katanya.

ELEMEN kehijauan juga antara yang melengkapkan konsep biophilic.
ELEMEN kehijauan juga antara yang melengkapkan konsep biophilic.

INFO

Kongres Sedunia Persekutuan Arkitek Landskap Antarabangsa (IFLA) 2018

Ia dijangka berlangsung pada 18 hingga 21 Julai ini di Sands Expo & Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura.

Kongres Sedunia IFLA kali ke- 55 itu dikatakan acara terbesar dan paling penting profesional landskap seluruh dunia.

Disokong lima wilayah iaitu Amerika, Eropah, Afrika, Timur Tengah dan Asia Pasifik yang menetapkan kongres itu sebagai pentas ‘Bandar Dalam Taman’ untuk profesional, badan kerajaan dan akademik berbincang pelbagai wacana berkenaan trend, cabaran dan seni bina landskap sebagai penyumbang kepada pembangunan kawasan yang mena­rik, boleh dinikmati, idea dan masa depan yang mampan.

Menariknya, ia menampilkan tema Bandar Biophilic, Negara Pintar dan Ketahanan Masa Depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 12:12 PM