MUHAMAD ADLI SALIHIN menunjukkan salah satu lukisan ‘freehand visualization’ dihasilkannya.
MUHAMAD ADLI SALIHIN menunjukkan salah satu lukisan ‘freehand visualization’ dihasilkannya.
Hartini Mohd Nawi


Perkembangan dunia landskap juga meletakkan komunikasi visual antara yang penting dalam menyampaikan maklumat, mesej dan gambaran reka letak sesebuah taman.

Keadaan itu turut memberikan 1,001 pengalaman buat pakar landskap, Muhamad Adli Salihin Samsudin apabila berpeluang mengikuti kursus Graphic Communication Studio yang membabitkan ‘freehand visualization’ di bawah seliaan pensyarahnya Dr Ruzaimi Mat Rani.

Ia bagi melengkapkan pengajian sarjana senibina landskap di Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sedang diikutinya.

“Saya masih baru dengan ‘freehand visualization’ namun mendalaminya memberikan 1,001 pengalaman.

“Segalanya membabitkan komunikasi visual yang seharusnya dipelajari setiap orang.

“Nampak mudah tapi memerlukan kaedah tertentu selain fokus atau tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Malah beliau mempunyai persepsi tersendiri terhadap kemahiran itu yang banyak boleh dimanfaatkan kerana hanya dengan sehelai kertas segalanya mampu digambarkan.

“Ruang taman umpamanya, kedudukan pokok dan elemen hiasan lain dapat dijelaskan secara terperinci susun aturnya.

“Dari situ kita dapat melihat kesesuaian sesebuah taman yang bakal dibina.

“Sekurang-kurangnya, anda sebagai pemilik kediaman tidak hanya dapat membayangkan konsep taman pilihan semata-mata, malah lebih memahami kesesuaiannya,” kata Penolong Pengarah Seksyen Florikultur, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang itu.

Menceritakan pengalaman sepanjang kursus ‘freehand visualization’ itu, Muhamad Adli Salihin nyata kagum dengan Dr Ruzaimi kerana ‘sifunya’ itu begitu tekun dan sistematik dalam memastikan pelajarnya dapat menguasai teknik melukis dengan berkesan.

“Bermula dari satu hingga tiga titik perspektif dan teknik ‘drafting’ yang sangat berkesan, ternyata ia memberikan ilmu serta pengetahuan kepada saya untuk melaksanakannya.

“Sekarang saya boleh melukis sesuatu pemandangan, menggunakan kemahiran ‘freehand visualization’ secara terus.

“Teknik sebegini sangat penting untuk setiap pereka menguasainya bagi memudahkan kita berurusan dengan pelanggan sebelum olahkan secara terperinci melalui komputer dilakukan,” katanya yang kini mampu menghasilkan lukisan termasuk objek tiga dimensi.

Malah lukisan yang membawa gambaran sebuah bandar dan destinasi tertentu lengkap dengan landskap turut dihasilkan dalam usahanya mempelajari kemahiran ‘freehand visualization.’

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 1:30 AM