GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini melancarkan Portal IPR Marketplace 2.0, yang menyediakan akses kepada pemilik harta intelek untuk meluaskan pasaran inovasi mereka.

Pengerusi MyIPO Dr Mohd Zuhan Mohd berkata platform itu diharap dapat menggalakkan kolaborasi usahawan tempatan bersama pihak berpotensi di pasaran global.

"Ini adalah langkah penting untuk membawa manfaat kepada pengusaha kecil dan sederhana tempatan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pengkomersialan harta intelek ke pasaran antarabangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia merupakan antara negara terawal di rantau Asia Tenggara memperkenalkan Portal IPR Marketplace pada tahun 2014 sebagai platform pemasaran untuk mempromosi aset harta intelek bagi tujuan pengkomersialan.

Katanya portal itu ditambah baik bagi membolehkan pemilik harta intelek berinteraksi secara terus serta berkolaborasi dengan pihak yang berminat menjalankan aktiviti pelesenan, francais, dan jual beli sesuatu harta intelek yang disenaraikan.

"Portal ini turut menyediakan maklumat Penilai Harta Intelek atau IP Valuer bagi mereka yang memerlukan penilaian terhadap harta intelek mereka berdasarkan pasaran semasa. IP Valuer ini diiktiraf melalui Program IP Valuation Training yang dianjurkan oleh MyIPO dengan kerjasama World Trade Institute (WTI) bagi memastikan penilaian harta intelek yang holistik dan berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 2:55 PM