Abdul Fattah Abdullah.
Abdul Fattah Abdullah.
BERNAMA

Bachok: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 3,000 rumah mampu milik bakal disiapkan tahun ini membabitkan kos keseluruhan RM450 juta.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kediaman dibina menerusi anak syarikat, MyAngkasa Villa itu membabitkan rumah yang berkeluasan 92.9 dan 69.6 meter persegi dengan masing-masing berharga RM249,000 dan berharga RM199,000.

"Inisiatif ini dilakukan bagi memberi kemudahan kepada anggota koperasi yang tidak memiliki slip gaji, tetapi mempunyai kemampuan daripada segi kewangan dan tanah, untuk membina kediaman mereka.

"Langkah ini juga sejajar dengan matlamat Angkasa untuk memastikan satu ahli satu rumah dapat dicapai, dengan tawaran rumah mampu beli bukan rumah mampu lihat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek MyAngkasa Villa di Kampung Lubok Nibong, Mahligai di sini, baru-baru ini, membabitkan pembinaan tujuh unit rumah.

Abdul Fattah berkata, projek pembinaan rumah MyAngkasa Villa mendapat sambutan menggalakkan daripada anggota koperasi dengan permohonan tertinggi membabitkan kawasan Felda di negeri Johor dan negeri Pahang.

Dalam pada itu katanya, setakat ini, terdapat 7.3 juta anggota koperasi di seluruh negara yang sebahagian besarnya adalah golongan B40.

"Berdasarkan harga rumah yang kita tawarkan ini, kita jangkakan anggota yang berpendapatan bulanan dalam lingkungan RM3,000 sebulan mampu untuk memohon.

"Kita akan cuba menjadi pemudah cara kepada anggota yang memohon dengan mengadakan rundingan bersama pihak bank tertentu bagi memastikan impian mereka memiliki kediaman sendiri tercapai kelak," katanya.

Menurutnya lagi, anggota koperasi yang memenuhi kelayakan ditetapkan boleh membuat permohonan menerusi koperasi negeri masing-masing yang dibuka sepanjang tahun. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 7:49 AM