GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Abu Tariq Jamaluddin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) yang baharu berkuat kuasa semalam.

Menurut HASiL dalam kenyataan, Abu Tariq yang sebelum ini merupakan Timbalan KPE (Pematuhan) HASiL, memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Malaya dan memulakan karier di agensi itu pada 15 Mac 1995.

Menurut kenyataan itu, beliau berpengalaman luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi perundangan serta pematuhan cukai dan sebelum menjawat portfolio Timbalan KPE (Pematuhan), Abu Tariq pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk jawatan Timbalan KPE (Dasar) dan Pengarah Jabatan Undang-Undang.

"Dengan pengalaman luas Abu Tariq, ia sudah pastinya akan membolehkan HASiL mencapai visi untuk menjadi Pentadbir Cukai Terunggul selari dengan aspirasi membina Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.

Abu Tariq akan menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Nizom Sairi, 61, yang tamat kontrak perkhidmatan pada 16 Dis lepas selepas berkhidmat selama 38 tahun di HASiL.

Menurut kenyataan itu, Mohd Nizom telah menyumbang kepada kecemerlangan organisasi itu dan antara sumbangan signifikan beliau adalah memperkenalkan konsep kesedaran, pendidikan dan perkhidmatan (AES) bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan di HASiL.

"Selain itu, HASiL telah merekodkan pencapaian kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2022, iaitu pada angka RM175.4 bilion di bawah kepimpinan Mohd Nizom.

"HASiL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Nizom atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di HASiL. HASiL turut mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan Abu Tariq sebagai KPE HASiL yang baharu," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 1:56 PM