Barisan Menteri baharu (dari kiri) Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menandatangani Surat Cara Pelantikan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan di Istana Negara. - FOTO BERNAMA
Barisan Menteri baharu (dari kiri) Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menandatangani Surat Cara Pelantikan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan di Istana Negara. - FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kalangan penganalisis dan ahli ekonomi menyifatkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II sebagai positif bagi pasaran kewangan dan modal selain dapat menyuntik keyakinan dalam kalangan pelabur.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini berikutan pengalaman Amir Hamzah yang mahir mengenai kepentingan membina keyakinan pelabur yang amat kritikal dalam usaha mengukuhkan mata wang Malaysia.

"Bagi saya, pelantikan seorang ahli teknokrat (untuk turut sama) mengemudi Kementerian Kewangan (MOF) adalah sesuatu yang baik dan dialu-alukan," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga yakin Amir Hamzah akan memaparkan komitmen kukuh untuk mengurangkan defisit fiskal selain memastikan paras hutang kerajaan pada trajektori yang mampan.

"Ini menjadi kelebihan memandangkan beliau memahami kesannya terhadap pasaran bon dan ekuiti. Saya juga percaya pelabur akan turut positif di atas pelantikan beliau yang positif untuk pasaran kewangan dan modal berikutan pengetahuan dan pengalamannya yang luas dalam dunia kewangan," katanya.

Selain itu, beliau juga yakin dengan kemampuan Amir Hamzah dalam usaha memastikan kerajaan dapat mematuhi semua pengukur yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal bagi menambah baik aspek kewangan kerajaan.

Pengalaman di KWSP dedah kos sara hidup, kesukaran rakyat

Pada masa sama, pengalaman Amir Hamzah di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga bermakna beliau memahami kesukaran yang dialami oleh rakyat, terutama bagi perkara atau bidang berkaitan dengan kos sara hidup serta aspek penjimatan untuk tujuan persaraan.

"Atas alasan itu, agenda pembaharuan itu akan diseimbangkan dan secara beransur-ansur kerana MOF juga tidak mahukan sesuatu yang boleh mengejutkan ekonomi.

"Saya yakin Amir Hamzah mempunyai ciri-ciri yang diperlukan bagi menguruskan kementerian dan berupaya menyampaikan dasar dengan berkesan kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Amir Hamzah sebagai Menteri Kewangan II berikutan rombakan Jemaah Menteri pada Selasa.

Amir Hamzah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, telah mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara pada awal hari ini.

Beliau adalah teknokrat kedua dilantik menggalas tanggungjawab di Kementerian Kewangan dengan berlatarbelakang korporat, mengikuti jejak bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd pada 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Amir Hamzah menyertai KWSP - dana persaraan terbesar negara dari segi aset di bawah pengurusan, sebagai ketua pegawai eksekutif pada Mac 2021.

Sebelum itu, beliau menduduki kerusi presiden dan ketua pegawai eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April 2019 hingga Februari 2021.

Suntik keyakinan pelabur

Sementara itu, berkongsi pandangan sama, Profesor Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Geoffrey Williams berkata pelantikan Amir Hamzah adalah positif bagi menyuntik keyakinan pelabur memandangkan beliau sememangnya dihormati sebagai pemimpin dalam kalangan komuniti pelabur.

"Beliau bukanlah individu (dengan profil) politik dan akan menumpukan butiran dasar, pengurusan fiskal serta tadbir urus yang baik. Inilah apa yang kita perlukan sekarang.

"Selain itu, pelantikannya juga bukanlah lantikan politik, sebaliknya profesional. Ini akan mengesahkan lagi keyakinan pelabur," kata Williams.

Menurutnya, bagi mendapatkan maklum balas positif pelabur domestik dan antarabangsa, aspek komunikasi penting dalam menetapkan keutamaan yang jelas bagi dasar fiskal, tadbir urus serta hala tuju pelaburan selain menangani perkara berkaitan pencen, pengurusan hutang dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Amir Hamzah juga telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang di KWSP, terutama dalam tempoh membabitkan usaha pengeluaran selain menerajui beberapa perubahan besar dalam tawaran perkhidmatan seperti akaun untuk suri rumah, pekerja ekonomi gig dan produk dan pengeluaran baharu seperti Akaun 3, katanya.

"Kita berharap pelantikannya ini membuktikan tumpuan (kerajaan) terhadap krisis persaraan dan beliau adalah individu paling sesuai untuk menggalas tugas itu. Penambahbaikan dalam ekosistem berkaitan pelaburan dan pengurusan dana-dana kerajaan adalah penting dan ini merupakan kepakaran beliau," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS) Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan pelantikan Amir Hamzah dapat membantu Anwar dalam memastikan segala dasar fiskal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efektif.

Ini termasuk mengutamakan impak serta output dan tidak hanya melihat kepada prestasi penyaluran dana semata-mata.

Beliau berkata Amir Hamzah juga dilihat berupaya melakukan pembaharuan dari segi ketelusan dalam pelaksanaan dasar fiskal serta sifat akauntabiliti yang lebih tinggi, di samping mengurangkan perbelanjaan tidak perlu, termasuk menangani ketirisan, pembaziran dan rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 6:06 PM