(DARI kiri) Nor Azman Zainal; Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein; Pengerusi Bebas Takaful Malaysia, Ismail Mahbob; Ketua Pegawai Operasi Takaful Malaysia, Mohamed Sabri Ramli dan Ketua Pemasaran Takaful Malaysia, Siti Hajar Rizlan pada pelancaran Kaotim. FOTO AZIAH AZMEE
(DARI kiri) Nor Azman Zainal; Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein; Pengerusi Bebas Takaful Malaysia, Ismail Mahbob; Ketua Pegawai Operasi Takaful Malaysia, Mohamed Sabri Ramli dan Ketua Pemasaran Takaful Malaysia, Siti Hajar Rizlan pada pelancaran Kaotim. FOTO AZIAH AZMEE
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) pengendali takaful pertama di negara ini melancarkan Kaotim, platform digital dan jenama baharu bagi menawarkan kad perubatan mampu milik serendah RM38 sebulan untuk rakyat Malaysia.

Kaotim inisiatif digital bertujuan memberikan pengalaman lebih mesra pelanggan dan selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pelancaran Kaotim menunjukkan usaha strategik kumpulan mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful digital.

"Kaotim memperkukuhkan komitmen kami untuk memberikan pengalaman lebih mesra pelanggan kepada generasi kini.

"Pengenalan Kaotim menyokong langkah strategik kami dalam mengukuhkan perniagaan peruncitan, menarik segmen pelanggan baru sekali gus membolehkan transaksi dalam talian lebih lancar sesuai dengan gaya hidup terkini.

"Dengan pelancaran Kaotim, kami perkenalkan MediKad, pelan perlindungan perubatan murah dengan penjimatan lebih besar serendah RM38 sebulan bagi memenuhi keperluan perlindungan kumpulan umur berbeza," katanya di majlis pelancaran Kaotim di sini, semalam.

Menerusi Kaotim, pelanggan menikmati proses langganan dalam talian yang mudah dan pantas.

Platform ini menawarkan MediKad, pelan perlindungan perubatan semua-dalam-satu pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia.

MediKad menyediakan kemasukan tanpa tunai ke hospital panel di Malaysia dan tempoh kemasukan hospital tanpa had serta elaun tunai harian untuk kemasukan ke hospital kerajaan.

Ia ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur antara enam dan 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun, pelanggan boleh memilih daripada tiga pelan berbeza dengan pilihan rider, MediBooster, mengikut keperluan perlindungan mereka dan dilindungi serta-merta selepas melengkapkan empat langkah pendaftaran dalam talian dan soal selidik perubatan mudah, tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 9:24 AM