Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - FOTO AFP
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Singapura dan Malaysia sedang menjalankan kajian daya maju bagi pengukuhan ekosistem Zon Ekonomi Khas (SEZ) antara kedua-dua negara, untuk mengetahui perkara yang harus ditumpukan pada zon ekonomi tersebut pada masa hadapan.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata kedua-dua negara itu kemudiannya akan menandatangani memorandum persefahaman berkaitan hasil daripada kajian tersebut yang diharapkan dapat dimeterai awal tahun depan.

"Pada peringkat awal, saya rasa ada tiga perkara yang anda mahu lakukan (dalam SEZ), pertamanya menambah baik aliran barangan antara kedua-dua pihak, kerana dengan adanya SEZ akan ada pengaturan cukai khas dan gudang berbon dan oleh itu akan memudahkan lagi aliran di sempadan.

"Keduanya, penyusunan aliran keluar masuk yang lebih baik dan mudah bagi mereka yang bekerja di kedua-dua belah tambak dan seterusnya syarikat di SEZ akan dapat memperoleh kakitangan yang mereka perlukan, gabungan pekerja profesional, pekerja mahir dan pekerja am lain yang sesuai.

"Ketiganya adalah untuk SEZ mengukuhkan ekosistem wilayah pembangunan Iskandar serta Singapura," katanya semasa sidang media bersama-sama dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Singapura, hari ini.

Anwar berada di Singapura sempena Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10.

"Dalam SEZ, ia penting bagi wilayah Iskandar sebagai tempat yang mana para pelabur akan menumpukan perhatian mereka, dan bagi syarikat Singapura mereka boleh merancang untuk mempunyai kehadiran di kedua-dua belah tempat, mempunyai lebih fleksibiliti dan dapat melakukan perkara yang mereka tidak boleh lakukan sekiranya mereka hanya berada di Singapura atau hanya di Johor.

"Jadi kita ada harapan yang tinggi. Tetapi banyak yang perlu dilakukan dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) (Singapura) dan Kementerian Ekonomi (Malaysia), saya rasa mereka perlu melakukannya segera, kita mahu melihatnya dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Semasa sidang media bersama itu, kedua-dua pemimpin turut melahirkan rasa puas hati mereka dengan kerjasama berterusan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) dan mengalu-alukan kemajuan yang dicapai oleh Kerjasama Industri, Imigresen, Hubungan Pengangkutan, Inovasi, Pelancongan dan Kumpulan Kerja Alam Sekitar masing-masing.

Para pemimpin juga mengambil maklum penubuhan pasukan petugas khas di bawah JMCIM untuk mengkaji SEZ Johor-Singapura serta perkembangan terkini yang disediakan oleh petugas itu semasa pemukiman tersebut.

JS-SEZ akan memanfaatkan kekuatan pelengkap kedua-dua negara untuk memupuk ketersambungan ekonomi dengan menambah baik aliran rentas sempadan bagi barangan, pelaburan dan manusia.

Para pemimpin juga memuji Kumpulan Kerja Kerjasama Perindustrian dan agensi dari kedua-dua negara yang bekerjasama rapat untuk memudahkan kemasukan pelaburan berprofil tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan di Iskandar Malaysia.

Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di Iskandar Malaysia dengan pelaburan bernilai S$9.5 bilion atau RM33 bilion antara 2006 dan Jun 2023.

Semasa sidang media bersama pada Julai tahun ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura Desmond Lee mengumumkan bahawa kedua-dua negara telah bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji penubuhan SEZ Johor-Singapura.

Rafizi berkata pasukan petugas khas itu akan melaporkan kemajuan zon tersebut kepada pemimpin kedua-dua negara tersebut apabila mereka bertemu pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang dijadualkan pada Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 3:03 PM