GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembelian hartanah kediaman adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi, dengan pembeli rumah Malaysia menyumbang anggaran RM42.5 bilion kepada ekonomi tahun lepas, menurut Juwai IQI.

Syarikat teknologi hartanah itu menjelaskan angka tersebut bersamaan kira-kira 2.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 Malaysia sebanyak RM1.79 trilion.

"Jelas, pembelian rumah merangsang ekonomi dan ini bermakna dasar kerajaan yang menyokong pembeli rumah mempunyai manfaat yang jauh lebih besar untuk pertumbuhan ekonomi," kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari, dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata RM42.5 bilion manfaat ekonomi itu mewakili hanya sebahagian daripada impak penuh keseluruhan sektor perumahan tanpa mengambil kira berpuluh bilion ringgit yang melibatkan pengeluaran bahan, pengurusan hartanah, sewaan hartanah, penyelenggaraan dan pengubahsuaian serta aktiviti hartanah lain yang menambah ekonomi.

Angka itu juga tidak termasuk nilai hartanah itu sendiri.

Beliau berkata antara Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, manfaat pembelian rumah terbesar adalah di Selangor dengan sumbangan 3.1 peratus kepada KDNK.

Di Johor dan Pulau Pinang, manfaat kepada KDNK secara relatifnya tinggi iaitu masing-masing pada 2.9 peratus dan 3.0 peratus, manakala Kuala Lumpur menyaksikan sumbangan paling sedikit kepada KDNK iaitu pada 1.7 peratus.

"Secara purata, setiap kali membeli rumah, anda menjana manfaat pada purata kira-kira RM175,000 untuk ekonomi, namun jumlahnya berbeza mengikut negeri.

"Di Johor, setiap transaksi menambah kira-kira RM150,000 kepada ekonomi. Manfaatnya kira-kira RM294,000 di Kuala Lumpur, kira-kira RM201,000 di Selangor, dan kira-kira RM174,000 di Pulau Pinang," katanya.

Juwai IQI menggunakan kaedah statistik yang dibangunkan oleh pakar ekonomi di National Association of Realtors (NAR) Amerika Syarikat, yang mempunyai hampir 1.5 juta ahli, untuk menganggarkan jumlah penambahan kepada ekonomi oleh pembeli rumah Malaysia.

Kashif berkata dalam model NAR, empat elemen membentuk jumlah manfaat ekonomi daripada pembelian rumah -- pendapatan yang dijana daripada aktiviti hartanah, perbelanjaan berkaitan, pengganda pembelian rumah, dan pembinaan rumah baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 1:33 PM