GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama untuk menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Kementerian Kewangan (Mof) dalam kenyataan hari ini berkata, layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023.

"Selain itu, kerajaan juga bersetuju supaya duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1 juta pertama nilai harta tanah.

"Baki selebihnya daripada nilai harta tanah terbabit tertakluk kepada kadar duti ad valorem dan diberi remisi sebanyak 50 peratus ke atas duti setem yang dikenakan.

"Layanan duti setem ini terpakai bagi surat cara pindah milik harta tanah yang disempurnakan mulai 1 April 2023," katanya.

Di bawah Program Pemilikan Rumah (Home Ownership Programme-Hope), pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Antaranya, pengecualian duti setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000 dan pengecualian duti setem 75 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 5:32 PM