GRABFOOD
GRABFOOD

GRABFOOD memperluas pilihan Saver Delivery atau penjimatan penghantaran ke bandar di seluruh negara sekali gus membolehkan lebih ramai pengguna memilih caj penghantaran daripada serendah RM1 bermula 28 Februari lalu.

GrabFood dalam satu kenyataan memaklumkan Saver Delivery yang dimulakan pada November 2022 membolehkan pengguna membuat pesanan daripada rangkaian restoran terluas di GrabFood sebagai pertukaran untuk masa penghantaran lebih lama.

"Grab melakukan ini dengan mengumpulkan pesanan dari arah sama yang dilalui rakan kongsi penghantaran. Ini bermakna pilihan Saver Delivery hanya tersedia untuk rakan kongsi peniaga layak, bergantung kepada masa pesanan dan lokasi.

"Selain menjadi pilihan kepada kos lebih efisien kepada pengguna, pendapatan rakan kongsi penghantaran juga tidak terjejas memandangkan mereka juga diberi pampasan untuk penghantaran berkenaan," kata kenyataan itu.

Menurut GrabFood, peluasan Saver Delivery turut menyaksikan pengenalan Direct Delivery dalam pilihan penghantaran diubah suai yang menyediakan masa penghantaran lebih singkat kepada pengguna yang tergesa-gesa menerima pesanan mereka.

"Bersekali pilihan baharu ini, ciri seperti dapat menjadual pesanan anda dan memilih mengambil pesanan sendiri yang bertujuan menyediakan pengguna pelbagai pilihan mudah dalam mendapatkan makanan mereka," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia Tan Jiong Jian berkata, dengan menjadikan penghantaran makanan lebih mudah diakses oleh pengguna dan memenuhi pelbagai jenis pemakan, pilihan penghantaran yang diubah suai juga memanfaatkan rakan kongsi penghantaran dan rakan peniaga GrabFood dengan merangsang peluang pendapatan tambahan.

"Kami komited terus meningkatkan perkhidmatan kami dalam menyediakan penyelesaian nilai tambah kepada semua dalam ekosistem yang bergantung pada platform.

"Menerusi ini, kami berharap terus melindungi kemampanannya - terus menyediakan kemudahan mampu milik kepada pengguna dan sebagai sumber peluang pendapatan kepada peniaga dan rakan kongsi penghantaran," kata Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 7:00 AM