SEBAHAGIAN penerima bantuan inisiatif Sama-Sama Hidup Baru.
SEBAHAGIAN penerima bantuan inisiatif Sama-Sama Hidup Baru.

Kuala Lumpur: Lotuss Stores (M) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) mengaktifkan aktiviti lapangan pertamanya bagi kempen Sama-Sama Hidup Baru bersama rakan kongsi amalnya, Kechara Soup Kitchen di Pusat Khidmat Gelandangan, Medan Tuanku.

Pusat ini menyediakan perlindungan dan sokongan kepada 280 gelandangan dan komuniti miskin bandar.

Ia adalah aktiviti lapangan yang pertama daripada lima lagi lokasi inisiatif untuk membantu gelandangan, golongan terbiar dan komuniti miskin bandar untuk bangkit semula dalam meneruskan hidup, menyediakan akses kepada penjagaan kebersihan dan juga makanan yang selamat dan berkhasiat yang akan berlansung pada sepanjang tahun ini.

Ketua Komunikasi dan CSR Lotus's Malaysia, Hanim Hamdan berkata, berbekalkan semangat #KitakanJiran, inisiatif ini banyak mendorong Lotus's untuk memberi perhatian kepada komuniti setempat.

"Melalui inisiatif seperti ini, kami bersama-sama rakan kongsi kami ingin individu yang sering dilupakan ini mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap kehidupan mereka melalui sebutir harapan yang diperbaharui supaya mereka boleh menjadi ahli masyarakat yang berdikari.

"Dengan sokongan daripada pelanggan, kami boleh mendekati lebih ramai orang yang memerlukan," katanya dalam kenyataan.

Bersama-sama merealisasikan program ini, Lifebuoy dan Clear menyumbangkan 280 pek penjagaan kebersihan kepada individu di Pusat Khidmat Gelandangan, Medan Tunku.

Pengumpulan dana amal digital Sama-Sama Hidup Baru ini dilancarkan pada Disember tahun lalu, dengan matlamat untuk memberi permulaan baharu kepada 3,000 golongan gelandangan dan golongan terbiar.

Pelanggan boleh mengambil bahagian dalam program #KitakanJiran dengan menderma sekurang-kurangnya 390 mata MY Lotus's (RM2) melalui aplikasi Lotus's Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 8:11 AM