GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima dan meluluskan sebanyak 44 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku keempat 2022.

MAVCOM dalam kenyataan hari ini berkata secara keseluruhan, suruhanjaya itu telah menerima peningkatan permohonan ATR sebanyak 15.8 peratus berbanding suku ketiga 2022, ia terdiri daripada 28 laluan antarabangsa dan 16 laluan domestik.

"Suruhanjaya melaporkan bahawa permohonan ATR pada suku keempat 2022 telah mencapai 12.8 peratus daripada permohonan ATR yang diterima sebelum pandemik pada suku keempat 2019.

"Penyambungan semula perjalanan udara secara beransur-ansur sejak pembukaan semula pintu sempadan serantau dan antarabangsa telah meningkatkan kadar permohonan ATR bagi suku tersebut kebanyakannya didorong oleh pembukaan laluan udara domestik yang baharu," kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

MAVCOM berkata MYAirline telah diberikan bilangan kelulusan ATR yang tertinggi daripada 44 ATR yang diperuntukkan oleh suruhanjaya itu, sebanyak 12 daripada 16 ATR bagi penerbangan domestik, ia diikuti oleh AirAsia, AirAsia X dan Batik Air Malaysia, masing-masing menerima sebanyak sembilan ATR.

Sementara itu, Firefly dan Raya Airways masing-masing diberikan kelulusan dua ATR dan Malaysia Airlines diberi satu kelulusan ATR.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, suruhanjaya itu telah melaporkan kenaikan sebanyak 31 peratus dalam permohonan ATR pada tahun 2022 berbanding pada tahun 2021 dan peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun 2020.

MAVCOM berkata susulan daripada pemulihan yang stabil sepanjang 2022, permohonan ATR telah mencapai sebanyak 78 peratus daripada permohonan ATR pra pandemik yang diterima oleh suruhanjaya itu pada 2019.

Dalam pada itu suruhanjaya itu telah meluluskan 52 ATR pada tahun 2022 berbanding tahun 2021 untuk penerbangan antarabangsa, ia menunjukkan impak pembukaan semula sempadan di seluruh dunia dan memberikan kesan positif yang membawa industri ke arah pemulihan, katanya.

Saripuddin berkata MAVCOM memberikan kelulusan ATR kepada syarikat penerbangan untuk destinasi-destinasi baharu di seluruh Asia Pasifik antaranya ialah Australia dan Bangladesh.

"Ini termasuk kelulusan untuk 4,241 tempat duduk tambahan bagi perkhidmatan berjadual ke Australia, penerbangan harian ke Dubai, tujuh penerbangan mingguan setiap satu untuk Jeddah dan Madinah serta Amritsar dan Trivandrum di India.

"Suruhanjaya juga meluluskan laluan terus harian dari Pulau Pinang ke Singapura dan Kuala Namu, Indonesia," katanya.

Saripuddin berkata MAVCOM yakin industri penerbangan negara akan pulih menjelang 2024 seperti yang dijangka oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 5:29 PM