ANTARA hadirin pada majlis pelancaran GrabAccess  di The Grounds. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
ANTARA hadirin pada majlis pelancaran GrabAccess di The Grounds. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

GRAB Malaysia komited mencipta peluang inklusif dan saksama untuk orang kurang upaya (OKU) di platform Grab.

Ia menerusi pengenalan GrabAccess, program serantau memperkasakan OKU dan individu terpinggir melalui platform Grab di Malaysia.

Inisiatif ini dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Pemandu e-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM).

Ketua Kelestarian Grab, Iris Chang berkata, menurut Bank Dunia, satu bilion orang atau 15 peratus daripada populasi dunia, mengalami suatu bentuk kekurangan upaya.

Katanya, Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Asia dan Pasifik menganggarkan komuniti OKU dua hingga enam kali lebih kurang kemungkinannya untuk diambil bekerja berbanding dengan orang tanpa kekurangan upaya.

"Oleh itu, kami teruja untuk bekerjasama dengan kedua-dua organisasi ini sebagai rakan kongsi perintis untuk mendampingi lebih ramai warga OKU.

"Sebagai syarikat teknologi, Grab berkomited untuk menyediakan bantuan dan sesi latihan khas supaya mereka berpeluang memanfaatkan teknologi kami dan platform Grab untuk menjana pendapatan.

"Bersama-sama, kami berharap dapat membantu lebih ramai OKU mencapai kebebasan kewangan," katanya di majlis pelancaran GrabAccess di sini.

Sementara itu, Pengasas PPEOFM, Niyaz Naathan berkata, pihaknya berharap dapat menangani halangan yang dihadapi oleh golongan OKU, terutamanya mereka yang berminat untuk menjadi pemandu e-hailing.

Beliau berkata, ini kerana proses yang ketat dan ini menjadi cabaran bagi sesetengah pihak.

BreaktheSilence mula diperkenalkan pada 2018 dengan tujuan memperkasakan komuniti pekak dan kurang pendengaran dalam ekosistem Grab.

Sejak itu program ini sudah berkembang dan meningkat dengan lebih 2,100 OKU di seluruh rantau memperoleh pendapatan di platform Grab.

Syarikat itu berharap dapat menggandakan jumlah itu menjelang tahun 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:10 AM