WAN Razly (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian antara Affin Bank, MdI dan BerryPay.
WAN Razly (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian antara Affin Bank, MdI dan BerryPay.

AFFIN Bank Berhad (Affin Bank) dan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) menjalin kerjasama tiga pihak dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Berry Pay (M) Sdn Bhd (BerryPay) untuk melancarkan aplikasi mudah alih e-linsolvensi.

Aplikasi mudah alih ini melengkapkan portal web sedia ada e-linsolvensi yang menawarkan perkhidmatan insolvensi dalam talian dan kemudahan pembayaran kepada orang ramai dan pihak berkepentingan MdI.

Perkhidmatan dan kemudahan ini kini boleh diakses melalui aplikasi, menyediakan pengalaman mudah alih yang diperibadikan kepada orang ramai dan pihak berkepentingan untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih selamat dan mudah.

Aplikasi ini membolehkan orang ramai dan pihak berkepentingan menjalankan carian status kebankrapan individu dan syarikat, membuat pembayaran untuk deposit pempetisyen dan ansuran bulanan atau caruman Insolvensi pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

MdI sudah menyediakan perkhidmatan e-pembayaran kepada orang ramai dan pemegang berkepentingan melalui Pindahan Wang Interbank Giro (IBG), pembayaran FPX, JomPay dan terminal kad.

Aplikasi mudah alih ini akan meningkatkan pengalaman awam dan merupakan sebahagian daripada pembangunan pilihan digital dalam talian untuk akses yang lebih besar kepada perkhidmatan dan kemudahan MdI.

BerryPay Malaysia, antara rakan kongsi dalam kerjasama ini, bertanggungjawab untuk membangunkan aplikasi mudah alih e-linsolvensi.

Pelancaran rasmi aplikasi mudah alih e-linsolvensi diadakan baru-baru ini yang dihadiri Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Anita Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif BerryPay, Azlan Shazmi Anwar.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh MdI untuk menjadi bank pemeroleh untuk usaha baharu ini.

"Kerjasama ini merupakan salah satu daripada banyak usaha dan komitmen kami dalam menyokong aspirasi inisiatif nasional kerajaan Malaysia – MyDIGITAL dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2021-2025 serta Kejayaan Pelan Pendigitalan MdI 2021-2025," katanya.

Menurutnya, pihaknya berada dalam era peralihan transformasi digital dan teruja untuk bekerjasama rapat dengan pihak MdI dan BerryPay Malaysia dalam aplikasi mudah alih baharu ini.

"Dengan aplikasi mudah alih e-linsolvensi baharu, pengguna boleh mengakses semua ciri-ciri yang tersedia di laman web rasmi dengan mudah dan menikmati pengalaman yang lancar di hujung jari serta membuat pembayaran dengan cara yang cepat, selamat dan mudah," katanya.

Aplikasi e-linsolvensi baharu ini boleh dimuat turun melalui aplikasi App Store, Google Playstore, Galeri Aplikasi Huawei dan aplikasi Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (Gamma).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 7:10 AM