Lim Hock San
Lim Hock San

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh didorong oleh keuntungan yang memberangsangkan sebanyak RM528.9 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (Q3FYE22).

Ia adalah peningkatan tahun ke tahun sebanyak 108 peratus berbanding RM250 juta pada Q3FYE21.

Keuntungan selepas cukai dan dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) masing-masing meningkat sebanyak 96 peratus dan 95 peratus, dengan peningkatan tahun ke tahun, daripada RM20 juta kepada RM39.2 juta dan daripada RM18.1 juta kepada RM35.4 juta.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan Syarikat.

Rekod pembangunan hartanah mencatatkan peningkatan dua kali ganda daripada RM243.2 juta kepada RM512.2 juta pada Q3FYE22.

Pendapatan ini sebahagian besarnya didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek utama LBS di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth dan Taman Perindustrian Alam Awana.

Selain itu, syarikat turut mengumumkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang turut menyumbang lebih 85 peratus kepada pendapatan syarikat bagi tempoh kewangan semasa.

LBS dalam kenyataan berkata, bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, pendapatan dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 46 peratus dan 69 peratus kepada RM1.3 bilion dan RM100.6 juta berbanding tempoh sama pada 2021.

Syarikat turut mengumumkan hingga 21 November 2022, LBS melepasi sasaran jualan hartanah RM1.6 bilion iaitu peningkatan 14 peratus kepada RM1.83 bilion.

Sehingga 31 Oktober 2022, LBS mempunyai bank tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 2,663 ekar dan nilai jualan tanpa bil sebanyak RM2.54 bilion.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS merekodkan prestasi yang sangat baik pada suku ini dan pihaknya gembira dengan keputusan yang dicatatkan itu.

"Keadaan ini menunjukkan bahawa permintaan hartanah mampu milik akan terus kukuh dan relevan.

"LBS berada di landasan yang tepat dengan pembinaan pembangunan di lokasi dan kawasan strategik di samping harga berpatutan telah membuahkan hasil, sekali gus berjaya mengekalkan prestasi yang baik sepanjang tahun 2022.

"LBS berhasrat melancarkan hartanah bernilai RM424 juta pada suku keempat tahun ini dan ia bakal memberikan kami kelebihan untuk mengakhiri tahun 2022 dengan cemerlang dan positif," katanya.

Menurutnya, menerusi pengumuman terkini Bank Negara Malaysia (BNM), Malaysia berkemungkinan menghadapi iklim ekonomi mencabar pada 2023, susulan daripada masalah bekalan, ketidakstabilan geopolitik dan turun naik pasaran yang boleh menjejaskan pertumbuhan.

"Bagaimanapun, kami akan lebih berhati-hati dan mengambil kira segenap faktor negatif ini kerana dengan pendekatan dan langkah strategik, LBS percaya kami berupaya meminimumkan kadar gangguan kepada perniagaan kami pada suku hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 7:00 AM