MENARA Maybank.
MENARA Maybank.

Kalangan penganalisis menyatakan pandangan berbeza sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang, dalam keadaan peningkatan inflasi.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menerusi nota semalam berkata, bank pusat dijangka menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas (bps) lagi kepada 2.75 peratus semasa mesyuarat pada 2-3 November 2022.

"Kami turut menjangkakan kenaikan 25 bps lagi pada awal tahun depan untuk menjadikan OPR kembali kepada paras sebelum Covid-19 iaitu 3.00 peratus menjelang akhir suku pertama 2023," katanya sambil memaklumkan ia turut mengekalkan ramalan kadar inflasi untuk 2022 dan 2023, masing-masing pada 3.3 peratus dan 4.0 peratus.

Maybank IB berkata ramalannya itu turut mengambil kira kesan dan impak rasionalisasi harga subsidi yang diumumkan dan dijangkakan terhadap makanan asas, bahan api dan tenaga (contohnya pemansuhan subsidi harga minyak masak botol pada Julai 2022); jangkaan pelarasan harga bahan api secara berperingkat; dan tarif elektrik berikutan semakan semula subsidi pada 2023.

Ramalan kenaikan OPR itu dilaksanakan berdasarkan peningkatan kadar inflasi yang berterusan, keadaan pasaran buruh yang semakin baik dan penjejak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bulanannya menunjukkan pertumbuhan KDNK sebenar yang lebih pantas pada suku ketiga 2022 selepas meningkat pada separuh pertama 2022, katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB yang senada dengan Maybank IB berkata, jangkaan awalnya BNM menghentikan seketika kenaikan pada mesyuarat akan datang, kini sesuatu yang tidak mungkin disebabkan ringgit terus merosot kepada paras terendah baharu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 7:00 AM