FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Terdapat keperluan untuk melihat ke arah memperluas asas cukai dan pencukaian yang lebih menyeluruh seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menutup jurang dalam kutipan hasil, menurut ahli majlis Institut Cukai Berkanun Malaysia, Harvinder Singh.

Kerajaan tidak boleh lagi tertumpu kepada sasaran yang sama iaitu pembayar cukai korporat, tetapi sewajarnya melihat kepada peningkatan kutipan hasil dengan mengembangkan asas cukai.

"Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan, mereka mungkin akan mengkaji semula (mengembalikan GST) dalam belanjawan akan datang jika ada keperluan, bergantung kepada keadaan ekonomi negara," katanya dalam program The Brief terbitan Bernama TV.

Dalam Bajet 2023, kerajaan mengumumkan pelaksanaan dua langkah untuk memperluaskan asas cukai iaitu e-invois dan Nombor Pengenalan Cukai (TIN).

Katanya, e-invois adalah langkah yang sudah diperkenalkan di beberapa negara seperti Jepun, Taiwan dan lain-lain lagi serta ia dirancang untuk diperkenalkan secara berperingkat di Malaysia.

"Keseluruhan idea adalah sesiapa sahaja yang menjalankan perniagaan pada dasarnya akan disepadukan dalam maklumat yang dimiliki oleh pihak berkuasa cukai. Oleh itu, sama ada pembayaran dibuat kepada pembekal, mereka juga akan dikaitkan dengan sistem pengebilan pihak berkuasa cukai.

"Ini pada dasarnya bermakna sesiapa sahaja di luar sana yang mempunyai hubungan perniagaan akhirnya akan menjadi sebahagian daripada asas cukai dan ini akan membantu meluaskan asas cukai bagi pihak berkuasa cukai. Ini akan memberi kesan kepada kebanyakan peniaga di negara ini," katanya lagi.

Harvinder ketika mengulas mengenai TIN menjelaskan mulai 2023, semua individu warganegara serta pemegang Pemastautin Tetap (PR) yang berumur 18 tahun akan diberikan TIN secara automatik, yang wajib digunakan untuk semua instrumen dan dokumen yang akan dicop.

"Ini pada dasarnya akan memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mengesan transaksi yang berlaku termasuk pelbagai pertanyaan dan pertanyaan susulan yang akan berbangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:00 AM