IMRI pada taklimat pengumuman keputusan tahun kewangan suku kedua TM. FOTO Aziah Azmee
IMRI pada taklimat pengumuman keputusan tahun kewangan suku kedua TM. FOTO Aziah Azmee
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) akan melancarkan perkhidmatan 5G selepas rundingan akhir dengan Digital Nasional Bhd (DNB) dimuktamadkan akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, TM sedang berusaha untuk merealisasikan rundingan bersama DNB itu membabitkan perjanjian ekuiti dan borong menjelang tarikh akhir yang ditetapkan Kementerian Kewangan pada 31 Ogos ini.

"Kami masih pada rundingan peringkat akhir dan sedang menunggu sebarang keputusan.

"TM akan terus melabur bagi memastikan syarikat bersedia melancarkan perkhidmatan 5G sebaik sahaja pelbagai rundingan dimuktamadkan," katanya kepada media di taklimat pengumuman keputusan tahun kewangan suku kedua TM di sini, semalam.

Beliau berkata, sebagai peneraju konvergen Malaysia, pihaknya yakin 5G akan memperkukuh penawaran konvergen dan pelanggan dapat beralih kepada 5G dalam tempoh terdekat.

"5G akan mewujudkan ruang sama rata dan membuatkan industri beralih daripada persaingan berasaskan rangkaian kepada berasaskan perkhidmatan.

"TM mengalu-alukan seruan kerajaan kepada pihak industri untuk memperoleh kepentingan ekuiti di dalam DNB.

"5G akan membuka dan meluaskan peluang serta bidang pertumbuhan untuk semua segmen perniagaan TM iaitu pengguna, PKS, perusahaan, borong serta perkhidmatan digital.

"Kami tidak sabar untuk menawarkan produk dan penyelesaian yang diupayakan oleh 5G bagi memberi nilai dan memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

TM sebelum ini antara yang terawal memeterai perjanjian dengan DNB, selain Yes.

Namun, sehingga kini, mereka masih belum menawarkan rangkaian 5G kepada umum melalui Unifi Mobile.

Bagaimanapun, kerajaan sebelum ini sudah menetapkan tarikh akhir rundingan bersama DNB sehingga Ogos 2022, sebelum mula memperkenalkan rangkaian 5G secara meluas bermula September 2022 kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 4:22 PM