Ujian kelajuan perkhidmatan 5G pada prebiu media 5G Kini Sedia di Malaysia. - FOTO Bernama
Ujian kelajuan perkhidmatan 5G pada prebiu media 5G Kini Sedia di Malaysia. - FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Digital Nasional Bhd (DNB) menawarkan perkhidmatan 5G secara borong kepada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di seluruh negara untuk percubaan komersil dari 15 Disember hingga 31 Mac tahun depan tanpa sebarang kos.

Ketua Pegawai Komersial DNB, Ahmad Taufek Omar berkata tawaran itu meliputi semua ujian lapangan 5G secara langsung dan akan tersedia melibatkan kawasan Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian Kuala Lumpur.

"Kami menamakannya percubaan komersial. Apabila kami memulakan sesuatu yang baharu, kami bercakap mengenai memberi perkhidmatan kepada sekitar lima hingga enam syarikat telekomunikasi, mereka perlu mengalaminya terlebih dahulu," katanya pada pratonton media mengenai pengalaman 5G di Putrajaya hari ini.

Mengenai berapa banyak MNO telah bersetuju untuk mendaftar untuk tawaran itu, beliau berkata setakat ini hanya satu MNO telah mendaftar dan selebihnya masih dalam peringkat perbincangan.

"Kami secara agresif membuat susulan dengan MNO yang lain, terdapat lima lagi MNO, supaya kami boleh membawa mereka bersama usaha yang dijalankan DNB ini. Perbincangan setakat ini menunjukkan perkembangan positif.

DNB yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi parti neutral tunggal untuk melaksanakan penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.

Menurut laporan media semalam, Telekom Malaysia Bhd telah mengesahkan ia akan menjalankan percubaan 5G dengan DNB untuk mengoptimumkan perkhidmatan tersebut.

Ditanya mengapa MNO masih belum mendaftar dengan DNB untuk percubaan 5G tersebut, Ahmad Taufek berkata rangkaian 5G masih merupakan perkara baharu di Malaysia dan kebanyakan mereka mempunyai banyak persoalan mengenainya.

"Pihak Industri berbincang dengan kami pada setiap minggu untuk memastikan kami menangani semua isu yang perlu. Mereka perlu memastikan semua kebimbangan mereka atau soalan sedia ada dijawab kerana tidak pernah berlaku satu syarikat menjemput lima syarikat berbeza untuk bersama-sama menyertainya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Taufek berkata DNB sebagai penyedia perkhidmatan borong 5G tidak akan bersaing dengan industri dalam menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir, sebaliknya akan melengkapkan usaha oleh MNO dengan tujuan untuk mempercepatkan penggunaan 5G di Malaysia.

Beliau berkata ketersediaan perkhidmatan 5G membuka inovasi baharu dan menarik dengan kelajuan ketersambungan yang jauh lebih baik yang mampu menyokong penggunaan penstriman serta muat turun kandungan video berkualiti 8K, permainan berasaskan teknologi awan dan kandungan realiti terimbuh (AR)

Pengguna akhir dengan peranti serasi 5G akan dapat menikmati kelajuan 100 Mbps dan ke atas yang bermaksud pengguna pada titik paling lemah liputan 5G akan mengalami 100 Mbps pada peranti serasi 5G, katanya.

Jumaat lepas, DNB berkata ia menjangkakan untuk melancarkan 10 peratus liputan 5G di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur menjelang akhir bulan ini dengan bilangan tapak terkumpul sebanyak 500 tapak.

Ini akan meningkat kepada 4,018 tapak atau liputan 40 peratus di kawasan berpenduduk padat di Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak pada tahun 2022.

DNB juga mensasarkan untuk mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk padat di negara ini menjelang tahun 2024 dengan 7,509 tapak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:33 PM