AMANDA Woo ketika pelancaran airasia poket di Redstation, KL Sentral. FOTO Aziah Azmee
AMANDA Woo ketika pelancaran airasia poket di Redstation, KL Sentral. FOTO Aziah Azmee
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Airasia Super App menyasarkan ciri baharu dalam aplikasinya itu, airasia pocket dapat menarik lebih daripada satu juta pengguna pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, sasaran itu adalah berdasarkan kepada peningkatan memberangsangkan yang direkodkan airasia Super App pada tahun ini.

Beliau berkata, trafik penggunaan airasia Super App sudah meningkat empat kali ganda dan pengguna aktifnya meningkat dua kali ganda dalam beberapa bulan ini.

Katanya, paling membanggakan adalah aplikasi airasia Super App merekodkan lonjakan muat turun purata sebanyak 50 peratus.

"Dengan ciri terbaru airasia pocket, dompet elektronik (e-dompet) pada aplikasi super ini, ia akan meningkatkan lagi kadar pertumbuhan.

"Kami mengunjurkan ciri terbaru airasia pocket akan menarik lebih sejuta pengguna sekali gus mengukuhkan kehadiran ciri itu di Malaysia sebelum mengembangkannya ke pasaran Asean yang lain," katanya selepas pelancaran airasia pocket, di sini hari ini.

Airasia pocket membolehkan pengguna untuk mengisi semula baki dan membuat pembayaran untuk semua produk dan perkhidmatan yang tersedia pada aplikasi itu di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran.

Pengguna airasia pocket berpeluang untuk memperoleh mata ganjaran airasia semasa proses pengaktifan, selain menikmati tambahan 10 peratus diskaun untuk semua tempahan penerbangan AirAsia, dan 10 kali mata ganjaran airasia dengan setiap pesanan melalui airasia food pada hujung minggu.

Woo berkata, ciri terbaharu dalam airasia Super App ini adalah langkah terakhir kumpulan memuktamadkan sepenuhnya ekosistem Airasia.

Beliau berkata, airasia pocket adalah cara yang lebih mudah, pantas serta lebih bermanfaat untuk membayar segalanya di dalam ekosistem airasia.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Kewangan airasia Super App, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil berkata, airasia pocket kini tersedia untuk semua pengguna airasia Super App di Malaysia dalam mata wang Ringgit.

Beliau berkata, ia boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi super dengan mendaftar untuk akaun airasia pocket melalui beberapa langkah mudah.

Katanya, terdapat dua jenis akaun airasia pocket iaitu Lite dan Pro. Akaun Lite disyorkan untuk kegunaan harian dengan had saiz dompet sebanyak RM500, manakala untuk akaun Pro pula direka untuk transaksi bernilai tinggi dengan had saiz dompet sehingga RM4,999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 3:05 PM