PESAWAT AirAsia.
PESAWAT AirAsia.

Kuala Lumpur: Pemegang Pas Tanpa Had AirAsia (Cuti-Cuti Malaysia) kini boleh menebus penerbangan percuma ke Langkawi atau mana-mana destinasi domestik yang tidak dapat dilakukan berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

Dilancarkan pada bulan Jun 2020, Pas Tanpa Had AirAsia membolehkan semua ahli BIG Rewards yang menetap di Malaysia membeli pas itu untuk menebus penerbangan tanpa had di seluruh Malaysia bermula dari tarikh pembelian hingga 30 Jun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, bagaimanapun, ada pengguna yang tidak dapat menggunakan pas mereka sepenuhnya berikutan sekatan perjalanan.

"Sebagai tanda penghargaan, kami ingin memberikan penerbangan percuma ke mana-mana destinasi domestik untuk pemegang Pas Tanpa Had cuti-cuti Malaysia.

"Kami berharap mereka akan mengambil peluang ini untuk bercuti ke Langkawi atau membuat perjalanan penting ke destinasi-destinasi domestik," katanya.

Beliau berkata, AirAsia sudah melaksanakan beberapa langkah inovasi teknologi tanpa sentuhan dan penambahbaikan untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang mudah dan lancar kepada tetamu.

"Kini tetamu boleh menggunakan perkhidmatan daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, pelepasan tanpa sentuhan menggunakan FACES, dan prosedur operasi standard yang mantap bagi mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa.

"Penerbangan juga hanya dikendalikan oleh kru kabin yang sudah divaksin sepenuhnya dan ciri-ciri keselamatan di dalam pesawat menjadikan penerbangan sebagai kaedah pengangkutan yang paling selamat," katanya.

Pemegang pas akan dimaklumkan melalui alamat e-mel berdaftar mengenai faedah tambahan ini atau mereka boleh klik pada ikon 'Unlimited' di airasia Super App atau layari airasia.com/unlimited untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 4:09 PM