NESTLE
NESTLE
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nestle (Malaysia) Bhd yang telah bertapak selama 110 tahun di Malaysia, meraih keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM205.18 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (suku pertama 2022) berbanding RM175.16 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Prestasi itu dicapai biarpun dalam persekitaran impak kenaikan harga komoditi serta pelaksanaan Cukai Makmur.

Perolehan hasilnya turut meningkat kepada RM1.69 bilion daripada RM1.45 bilion sebelum ini, kata kumpulan makanan dan minuman itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

Keputusan kewangan lebih baik itu telah dipacu oleh jualan domestik dan eksport lebih tinggi iaitu masing-masing meningkat 14.9 peratus dan 25.3 peratus.

Prestasi lebih kukuh itu dicatatkan oleh perniagaan terasnya iaitu makanan dan minuman (F&B) dan perniagaan saluran luar rumah (OOH) di bawah Nestlé Professional yang mendapat manfaat daripada peningkatan mobiliti serta pembukaan semula hotel, restoran dan kafe pasca sekatan pergerakan.

Bagi tempoh suku pertama 2022, kumpulan itu telah memperkenalkan beberapa produk baharu termasuk rangkaian mi segera Maggi yang rendah lemak dan garam dan turut didatangkan dengan logo pilihan sihat Kementerian Kesihatan serta campuran Nescafe Tarik dan pes perapan ayam Maggi.

Segmen aiskrim pula menyaksikan pelancaran baharu seperti aiskrim Nestlé Musang King, aiskrim Nestlé Mochi Boba dan manisan brownies coklat La Cremeria yang menggunakan garam laut.

Bagi prospek tahun semasa, kumpulan berkenaan yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan yang berterusan sepanjang tahun tersebut biarpun tiada penurunan daripada peningkatan semasa dalam suku-suku akan datang.

Kumpulan itu bagaimanapun tidak mengumumkan sebarang unjuran keuntungan.

"Persekitaran global kekal amat mencabar dengan inflasi yang berleluasa di serata dunia, termasuk di Asia dan diburukkan lagi oleh perang di Ukraine yang menjejaskan harga dan ketersediaan komoditi makanan utama seperti gandum, barli dan minyak bunga matahari .

"Secara keseluruhannya, 2022 menjadi tahun pertumbuhan kukuh dari segi prestasi angka kasar dengan beberapa tekanan bagi keuntungan ketika kami berusaha gigih untuk menseimbangkan ketegangan dalam rantaian kos nilai dengan kecekapan dalaman serta kenaikan harga yang sederhana," katanya.

Menurutnya, di sebalik kekangan yang tidak dijangka, kumpulan itu menyasarkan untuk terus memanfaatkan kesemua peluang bagi memacu satu lagi tahun keputusan kewangan yang kukuh serta berdaya tahan.

Pada masa sama, ia juga berhasrat untuk mencatat perkembangan bermakna dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyumbang kepada kemajuan Malaysia yang mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 3:31 PM