ANTARA ruang dalaman di kedai yang terdapat di MOP KLIA.
ANTARA ruang dalaman di kedai yang terdapat di MOP KLIA.

Sepang: MFMA Development Sdn Bhd, syarikat usaha sama di antara Mitsui Fudosan Co Ltd (Mitsui Fudosan) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini mula membuka Fasa 3 Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (MOP KLIA) kepada orang ramai.

Fasa 3 dengan keluasan lantai kasar berukuran 82,885 kaki persegi menempatkan dua kedai baharu iaitu Objet dan Courts di tingkat satu manakala tiga kedai konsep baharu oleh Adidas, Nike dan Puma di tingkat bawah.

Kedai-kedai itu menawarkan pelbagai pilihan baharu kepada pembeli serta pengalaman memilih barangan yang lebih baik, acara dan perkhidmatan dalam kedai yang eksklusif serta pemaparan barangan yang inovatif.

Timbalan Pengarah Urusan MFMA, TJ Cheah berkata, pelancaran Fasa 3 itu adalah tepat pada masanya untuk mengalu-alukan peningkatan trafik pengunjung di pusat beli-belah itu.

"MOP KLIA semakin popular sebagai destinasi membeli-belah untuk barangan berjenama dan pusat beli-belah ini telah menyaksikan peningkatan yang besar bagi bilangan pengunjung ke dalam kedainya sejak beberapa tahun lalu.

"Pencapaian MOP KLIA meningkat pada musim cuti lalu, yang membawa kepada kejayaan jualan akhir tahunnya yang berlangsung dari Disember 2021 hingga pertengahan Januari tahun ini," katanya melancarkan pembukaan Fasa 3 MOP KLIA, baru-baru ini.

Cheah berkata, sebagai tambahan kedai berkonsep besar baharu, MOP KLIA juga meningkatkan kapasiti tempat letak keretanya untuk memenuhi peningkatan trafik masuk ke pusat beli-belah itu.

"Dengan pembukaan rasmi fasa baharu, pembeli juga boleh menikmati jualan dan tawaran istimewa yang berpatutan, selain daripada promosi hari raya yang sedang berlangsung mulai 1 April hingga 8 Mei 2022," katanya.

Menurutnya, pihaknya mempunyai perancangan untuk meluaskan pusat beli-belah itu kepada Fasa 4 namun, buat masa ini ia menganggap Fasa 3 sebagai sudah melengkapkan keseluruhan pembangunan MOP KLIA.

"Perancangan untuk meneruskan ke fasa seterusnya sentiasa ada namun, buat masa ini Fasa 3 sudah memadai," katanya.

Bersempena dengan pembukaan rasmi Fasa 3, MOP KLIA akan menghadiahkan Toyota Rush kepada seorang pemenang bertuah melalui peraduan.

Pembeli berpeluang menyertai peraduan dengan perbelanjaan minimum RM300 dalam dua resit maksimum.

Namun, sekurang-kurangnya satu resit mestilah daripada salah satu cawangan terpilih iaitu adidas Factory Outlet, Courts, Nike Unite KLIA, Objet atau Puma Factory Outlet Concept Store.

MOP KLIA terletak di lokasi strategik hanya lapan minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selain kira-kira 45 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 7:08 AM