KEKUATAN ekonomi   elemen paling penting mempengaruhi nilai hartanah.
KEKUATAN ekonomi elemen paling penting mempengaruhi nilai hartanah.

MAH Sing Group Bhd yakin dalam berhati-hati dengan prospek hartanah bagi tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang susulan jangkaan permintaan kukuh daripada penduduk muda di negara ini.

Impak pandemik Covid-19 sudah mempengaruhi pasaran hartanah di Malaysia dalam tempoh dua tahun lalu yang membawa kepada perubahan pola penggunaan dan perubahan baharu bagi pemain hartanah, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, kelmarin

"Kumpulan menjangkakan kemajuan pemulihan yang pantas, sekiranya pertumbuhan ekonomi global dan domestik stabil. Keseluruhan kekuatan ekonomi adalah elemen paling penting yang mempengaruhi nilai hartanah.

"Selain itu, prospek ekonomi yang lebih baik juga dijangkakan bagi tempoh bulan-bulan yang akan datang, ditunjukkan menerusi pertumbuhan kukuh Indeks Pelopor berbanding bulan sebelumnya. Begitu juga, situasi perniagaan yang positif dijangkakan bagi tempoh enam bulan akan datang seperti yang dilaporkan dalam Perangkaan Kecenderungan Perniagaan.

"Pekerjaan dalam pelbagai industri termasuk hospitaliti, penerbangan, pelancongan dan korporat, mungkin mula meningkat serta pada satu tahap akan membantu menambah baik kuasa beli dalam sektor hartanah," katanya.

Sementara itu, Mah Sing berkata, permintaan sewa dijangka meningkat tahun depan berikutan pembukaan semula sempadan perjalanan dengan lebih ramai ekspatriat asing, rakan kongsi perniagaan, pelancong dan pelajar asing menyumbang kepada jumlah pertumbuhan. - Bernama

Menurut Analisis Permintaan Portal (Pasaran Sewa Kediaman) Separuh Pertama iProperty, permintaan sewa di Lembah Klang meningkat daripada -2.9 peratus pada separuh pertama 2020, kepada +2.6 peratus pada separuh pertama 2021.

"Ramai penyewa di Kuala Lumpur mencari kondominium dan kediaman berperkhidmatan bersaiz antara 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi berharga daripada RM1,500-RM2,000. Ini boleh memberi manfaat bagi pembeli rumah yang berhasrat membeli rumah untuk pelaburan," kata syarikat itu.

Mah Sing berkata, pasaran hartanah diunjur mencatatkan pemulihan ketika negara melangkah ke tahun 2022.

"Kami akan terus memastikan produk kami mengikuti sentimen pasaran dan memenuhi permintaan terpendam bagi rumah mampu milik.

"Kumpulan mahu terus memanfaatkan kekuatan platform pasaran digital sedia adanya bagi meningkatkan jualan dengan menyelaraskan proses daripada kesedaran kepada pembayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:40 AM