ZAHARUDIN
ZAHARUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Kumpulan MNRB Holdings Berhad (MNRB) turun sebanyak 8.3 peratus kepada RM46.6 juta daripada RM50.8 juta, yang dicatatkan pada suku tahun pertama berakhir 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, MNRB mencatatkan peningkatan sebanyak 34.9 peratus dalam Premium Kasar dan Sumbangan Takaful iaitu sebanyak RM675.4 juta berbanding RM500.8 juta dalam tempoh sama meskipun menghadapi cabaran ekoran penularan kes Covid-19 dan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Zaharudin Daud berkata, impak pandemik Covid-19 termasuk kemunculan varian membimbangkan (VOC) baharu akan terus memberi cabaran kepada persekitaran operasi pihaknya.

"Namun begitu, anak-anak syarikat kami terus cekal dan memberi tumpuan kepada ketahanan operasi dan hasilnya menyumbang kepada peningkatan Premium Kasar dan Sumbangan Takaful," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anak syarikat insurans semula MNRB, Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) pula mencatatkan peningkatan premium kasar sebanyak 30.1 peratus kepada RM421.0 juta berbanding RM323.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

"Ini dipacu oleh pertumbuhan perniagaan segmen luar negara. Keuntungan bersihnya mencatatkan penurunan sebanyak 32.4 peratus kepada RM23.8 juta berbanding RM35.2 juta pada suku pertama tahun lalu berikutan pendapatan pelaburan bersih lebih rendah serta pasaran ekuiti yang lemah.

"Malaysian Re terus mempamerkan sasaran pertumbuhan yang kukuh dengan mencatatkan Premium Kasar suku tahun pertama tertinggi sebanyak RM421.0 juta. Dalam mengorak langkah lebih jauh pada tahun kewangan 2022 ini, kami akan memanfaatkan peluang untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran luar negara.

"Ini didorong oleh pembukaan semula perniagaan negara luar berikutan perkembangan positif mereka dalam usaha membendung wabak itu," katanya.

Zaharudin berkata, Sumbangan Kasar Takaful Am Kumpulan, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS General) meningkat 23.0 peratus kepada RM94.0 juta pada suku pertama tahun ini, berbanding RM76.4 juta yang direkodkan suku pertama tahun lalu yang didorong oleh pertumbuhan saluran Agensi dan Bankatakaful.

"Bagaimanapun, keuntungan bersihnya merosot sebanyak 18.3 peratus kepada RM5.8 juta daripada RM7.1 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

"Ini disebabkan oleh pendapatan pelaburan bersih yang lebih rendah dan perbelanjaan perolehan yang lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, suku pertama tahun ini juga menyaksikan perniagaan Takaful Keluarga Kumpulan mencatatkan peningkatan ketara dalam prestasinya.

"Sumbangan Kasar Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS Family) meningkat 58.6 peratus kepada RM161.9 juta daripada RM102.1 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh pemulihan dalam perniagaan berkaitan kredit daripada saluran Bankatakaful.

"Perniagaan baharu bagi Takaful IKHLAS Family yang diukur oleh Purata Sumbangan Tahunan meningkat 97.8 peratus kepada RM18.4 juta daripada RM9.3 juta pada suku pertama tahun lalu.

"Keuntungan bersihnya melonjak sebanyak 411.5 peratus menjadi RM13.3 juta daripada RM2.6 juta pada suku pertama tahun lalu yang disumbangkan oleh yuran wakalah yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan Sumbangan Kasar," katanya.

Beliau berkata, perniagaan takaful pihaknya kekal berdaya tahan dan melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelancaran kempen dan produk baharu seperti Cancer Rider.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:44 PM