BANK ISLAM.
BANK ISLAM.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd melalui ejen debit langsung (direct debit) yang dilantiknya, InfaqPay, kini menawarkan perkhidmatan e-Mandate, sebuah platform pungutan pembayaran berulang.

Penyelesaian baharu ini memudahkan pelanggan yang berdaftar sebagai saudagar (merchant) di bawah InfaqPay bagi menguruskan proses pungutan pembayaran berulang seperti bil utiliti, premium insurans, keahlian persatuan, zakat dan derma secara terus daripada akaun mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, menerusi e- Mandate, pelanggan berdaftar dapat menikmati perkhidmatan pembayaran berulang secara automatik pada kos yang rendah.

"Ia juga dapat memantau aliran masuk tunai melalui laporan caruman secara masa nyata.

"Saudagar, khususnya badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat keagamaan seperti masjid juga dapat mempelbagai dan memperluas saluran pungutan sumbangan daripada masyarakat umum," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihaknya komited menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan semasa yang selamat, mesra pengguna dan cekap.

"Daripada perspektif pelanggan atau penderma pula, urusan pemindahan dana secara automatik bagi sumbangan, yuran dan bayaran lain-lain dapat dilakukan dengan lebih mudah dan segera kerana semuanya disempurnakan secara dalam talian dengan hanya satu langkah.

"Bagi memastikan ketelusan dalam transaksi, pelanggan akan dimaklumkan menerusi e-mel mengenai butiran potongan bulanan yang telah disempurnakan," katanya.

Bank Islam menyasarkan 40 saudagar baharu mendaftar di bawah perkhidmatan ini bagi mencapai 30,000 transaksi menjelang akhir 2021.

Setakat ini, InfaqPay mempunyai 20 saudagar yang berdaftar dengan lebih 3,000 transaksi berjumlah RM70,000 sudah disempurnakan sejak diperkenalkan April lalu.

Sehubungan itu, bagi memperluaskan perkhidmatan e-Mandate kepada semua segmen, Bank Islam bersedia bekerjasama dengan lebih ramai ejen direct debit di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan e-Mandate atau ingin mendaftar sebagai saudagar, boleh hubungi Jabatan Deposit dan Tunai Bank Islam atau e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 3:01 PM