BANK NEGARA MALAYSIA
BANK NEGARA MALAYSIA

Putrajaya: Bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam memohon moratorium automatik ditawarkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu dipersetujui bank dalam satu perbincangan baru-baru ini selepas kerajaan membangkitkan perkara terbabit.

"Fokus utama pemberian moratorium ini untuk membantu rakyat dan perniagaan yang kini dalam kesusahan akibat Covid-19 dalam menguruskan aliran tunai," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, konsep pelaksanaan moratorium automatik diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah sama seperti dilaksanakan tahun lalu.

Katanya, pelanggan terdiri daripada individu, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan melalui proses dan kaedah sama seperti moratorium sebelumnya.

"Penawaran moratorium automatik terbaharu kepada rakyat dan perniagaan ini juga bukan sifar kadar faedah sepanjang tempoh penangguhan. Kadar faedah bergantung kepada bank termasuk jenis produk pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan.

"Kaedah adalah sama dengan moratorium automatik sebelum ini. Bukan sifar kadar faedah. Perlu difahami moratorium ialah bantuan penangguhan bayaran balik yang mana bank bersetuju bantu mereka terkesan secara automatik.

"Pelanggan perlu rujuk dan bincang dengan bank untuk mengetahui kadar faedah kerana semua bank adalah berbeza," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan peka dengan kesusahan yang dialami rakyat dan perniagaan namun mungkin ada yang tidak memerlukan moratorium automatik terbabit.

"Bantuan moratorium ini terjamin untuk golongan B40, M40, T20, perusahaan mikro dan PKS," katanya.

Ditanya sama ada pemberi moratorium automatik itu memberi impak kewangan kepada bank, beliau menjelaskan, kerajaan percaya institusi perbankan mampu menyerap implikasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:04 AM