YUSNIZA menunjukan koleksi telekung kanak-kanak dan dewasa serta kelengkapan solat Telekung An Najwa di butiknya.
YUSNIZA menunjukan koleksi telekung kanak-kanak dan dewasa serta kelengkapan solat Telekung An Najwa di butiknya.
Oleh Hajar Umira Md Zaki


Shah Alam: Telekung Najwa Enterprise menghasilkan telekung dan sejadah yang menarik untuk kanak-kanak bagi memupuk minat golongan itu menunaikan solat.

Pengarah Urusannya, Yusniza Yusof berkata, dia mula mendapat ilham untuk mengeluarkan telekung kanak-kanak kerana berdepan masalah sebelum ini.

"Di Telekung An Najwa, kami mengeluarkan telekung mengikut saiz dan umur kanak-kanak serta mengikut cita rasa rakyat Malaysia.

"Kebiasannya, kebanyakan telekung yang ada di pasaran dijual dengan satu saiz saja, namun kami menyuntik kelainan dengan menawarkan pelbagai saiz sesuai dengan usia kanak-kanak," katanya.

Katanya, sebelum ini Telekung Aranda menjadi antara yang paling laris, berikutan fabriknya yang berkualiti, tidak mudah renyuk dan mudah untuk dibawa ke sekolah serta ringan.

Menurutnya, telekung berkenaan juga mempunyai corak yang tidak berat serta didatangkan dengan lima saiz untuk kanak-kanak.

"Baru-baru ini, kami memperkenalkan corak eksklusif kerana kami dapati anak-anak sukakan kelainan.

"Jadi, kami mengeluarkan Telekung Tutu Unicorn dan telekung ini antara yang laris sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, Telekung Tutu Unicorn ini turut mendapat perhatian dan kebanyakkan pelanggan memberi cadangan supaya lebih banyak warna dikeluarkan.

Telekung kanak-kanak di Telekung An Najwa boleh didapati pada harga serendah RM65 sehingga RM150.

Sementara itu, selain telekung untuk anak-anak perempuan, mereka turut mengeluarkan sejadah yang berterapkan karakter untuk kanak-kanak lelaki bagi menarik minat mereka untuk solat.

"Kami juga mengeluarkan sejadah yang boleh diserikan dengan sulaman nama serta boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari," katanya.

Sementara itu, Yusniza berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan keuntungan 30 peratus tahun ini berbanding tahun lalu dan mencatat 20 peratus peningkatan setakat awal Mei ini.

Telekung An Najwa Enterpise adalah salah satu jenama yang menyertai program Business In Transformation (BIT) yang dikendalikan Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:01 AM