Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Pelbagai negara termasuk negara maju menggunakan dana dari rizab atau tabung amanah untuk menangani krisis Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Ireland menggunakan sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.39 bilion) dari dana 'National Surplus (Exceptional Contingencies) Reserve Fund', sementara Norway pula menggunakan AS$37 bilion (RM152 bilion) dari 'Government Pension Fund Global' mereka.

"Malah, negara jiran iaitu Singapura turut menggunakan rizab dalaman bernilai hampir AS$40 bilion (RM164 bilion).

"Sebagai perbandingan, penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) oleh Malaysia ialah sekitar AS$1.2 bilion (RM5 bilion)," katanya dalam Laporan Laksana ke-51 yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, KWAN ditubuhkan melalui Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 yang membenarkan dana itu digunakan bagi membiayai projek pembangunan; dan pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

"Pindaan undang-undang ke atas Akta KWAN 1988 melalui Ordinan Darurat baru-baru ini membolehkan dana KWAN digunakan hanya untuk perolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit.

"Anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanyalah menggunakan jumlah pulangan pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan.

"Vaksinasi adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat kecuali dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.

"Objektif KWAN apabila ditubuhkan 33 tahun dulu adalah untuk melindungi "generasi masa depan". Siapa lagi "generasi masa depan" itu jika bukan kita, di saat mengharungi cabaran Covid-19 yang mungkin krisis paling getir dan serius di dalam sejarah Malaysia?," katanya.

Tengku Zafrul menegaskan kerajaan komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh.

Beliau berkata, penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0 peratus pada penghujung 2021.

"Yakinlah bahawa kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat. KWAN dikawal selia oleh lima anggota lembaga pemegang amanah yang membuat semua keputusan dasar sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

"Lembaga pemegang amanah ini merangkumi wakil kerajaan dan swasta/professional. KWAN juga diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara. Oleh itu, elemen semak dan imbang kekal terjamin walaupun terdapat pindaan spesifik dan terhad ke atas penggunaan dana KWAN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:07 PM