BAIDZAWI menyatakan pelaburan menyediakan  lebih 15,000 peluang pekerjaan dan 1,800 peluang perniagaan.
BAIDZAWI menyatakan pelaburan menyediakan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan 1,800 peluang perniagaan.

WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM2.6 bilion pada suku pertama 2021 meskipun berdepan pelbagai cabaran yang dibawa pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Baidzawi Che Mat berkata, di bawah Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2.0 (EMP 2.0) dari 2018 sehingga Februari lalu, ECER menarik pelaburan komited kumulatif RM17 bilion yang dijangka mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan 1,800 peluang perniagaan.

ECERDC mengekalkan sasaran untuk pelaburan swasta bernilai RM70 bilion menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam (EMP 2.0).

"ECERDC akan terus menumpukan kepada usaha menarik pelaburan asing dari negara-negara Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) seperti Jepun, China, dan Korea Selatan serta meningkatkan usaha menarik pelaburan dari Jerman dan dua negara sasaran baharu, iaitu Rusia dan India.

"Dalam jangka pendek, kami menjangkakan usaha menarik pelaburan baharu akan terus menjadi satu cabaran kerana ekonomi masih lagi dalam fasa pemulihan daripada kesan pandemik.

"Bagaimanapun, berdasarkan trend terkini tahun ini, menunjukkan penurunan kes harian Covid-19 di serata dunia susulan langkah vaksinasi yang dipergiatkan, kenaikan harga minyak dan peningkatan minat dalam mempelbagaikan rantaian bekalan dan kepentingan keselamatan makanan," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis ECERDC, baru-baru ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, ECERDC sudah merangka pelan untuk meningkatkan daya saing wilayah berkenaan sebagai destinasi pelaburan dan mengembalikan semula momentum pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 7:10 AM