Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

KERAJAAN Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM9.5 bilion ke Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, angka itu melepasi sasaran awal bagi pelaburan komited untuk negeri ini bagi tahun 2021 iaitu RM5.1 bilion.

Menurutnya, pelaburan itu juga dijangka akan mewujudkan lebih 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat di Pahang.

"ECERDC juga merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion di Pahang pada tahun ini dan ia adalah pelaburan yang baik dalam tempoh mencabar ini.

"Kerjasama erat antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi berkaitan turut menyumbang kepada peningkatan pelaburan baharu yang signifikan," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang yang diadakan secara maya, kelmarin.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baidzawi berkata, pelaburan baharu itu merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, perluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang.

Katanya, kerajaan Pahang berharap Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC mengekalkan momentum dalam memastikan projek strategik dan inisiatif yang dirancang seperti kerja infrastruktur dan program pembangunan modal insan dapat diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan.

"Bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk mewujudkan pelbagai promosi pelaburan pada separuh kedua tahun ini bagi menarik pelabur dalam sektor ekonomi utama," katanya.

Sementara itu, menurutnya, ECERDC terus memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang Barat melalui aktiviti pertanian dan pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:10 AM