KAPASITI pengeluaran Perodua kini berada pada purata 98 peratus pada Oktober dengan 26,362 kenderaan.
KAPASITI pengeluaran Perodua kini berada pada purata 98 peratus pada Oktober dengan 26,362 kenderaan.
Oleh Lizam Ridzuan


PERUSAHAAN Otomobil Kedua (Perodua) merekodkan rekod jualan bulanan tertinggi dalam sejarahnya dengan 26,852 unit pada Oktober lalu berbanding 25,035 unit pada bulan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pencapaian ini juga sebagai komitmen syarikat untuk penghantaran kenderaan secepat mungkin kepada pelanggan dan peranan memulihara ekosistem industri automotif negara.

"Kami membelanjakan sebanyak RM600 juta membeli komponen daripada pembekal tempatan merangkumi sektor langsung atau tidak langsung untuk kesan ekonomi lebih positif yang mana mereka turut terkesan dengan pandemik yang kita hadapi sekarang," katanya, semalam.

Ekosistem itu meliputi pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.

Kapasiti pengeluaran Perodua kini berada pada purata 98 peratus pada Oktober dengan 26,362 kenderaan.

Ia juga rekod bulanan tertinggi untuk kilang di Sungai Choh, Rawang.

Pada Oktober, Perodua menjual 8,052 unit model Myvi, Axia (6,738 unit), Bezza (6,895 unit), Aruz (3,193 unit) dan Alza (1,974 unit) Myvi, Axia dan Bezza kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia.

Syarikat turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dipatuhi oleh setiap kakitangan serta rakan niaga.

"Strategi seterusnya untuk memanfaatkan nilai dan kualiti produk serta perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dari segi penyelenggaraan alat ganti mencukupi kerana kebanyakan dikilang secara tempatan dan mengekalkan momentum jualan dan pengeluaran," katanya.

Perodua kini menawarkan penebusan tunai sehingga RM1,500 tambahan ke atas pengecualian cukai semasa untuk model Perodua Aruz baharu sepanjang November dan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan pramilik sehingga 31 Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 7:00 AM