DATUK Seri Nancy Shukri (dua kiri) melawat pameran pengusaha kraftangan selepas melancarkan Mycraftshoppe di Kompleks Kraf Langkawi. FOTO Saifullizan Tamadi
DATUK Seri Nancy Shukri (dua kiri) melawat pameran pengusaha kraftangan selepas melancarkan Mycraftshoppe di Kompleks Kraf Langkawi. FOTO Saifullizan Tamadi
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Langkawi: Pelancong boleh menangguhkan penerbangan jika didapati positif selepas menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas ke Langkawi.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, syarikat penerbangan membenarkan pelancong menangguhkan perjalanan dan mereka masih boleh datang melancong ke Langkawi.

"Begitu juga dengan penginapan, ia boleh ditangguhkan. Kita sudah berbincang dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH), mereka juga membenarkan ia ditangguhkan.

"Itu sudah kita uruskan semuanya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan platform Mycraftshoppe di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu di sini, hari ini.

Pelancaran Mycraftshoppe adalah sempena pembukaan semula Pulau Langkawi di bawah inisiatif gelembung pelancongan domestik bermula hari ini.

Nancy berkata, bagaimanapun ia (penangguhan) tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan oleh syarikat penerbangan didaftarkan serta penginapan yang ditempah pelancong berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini dalam kenyataannya berkata semua pelancong yang mahu menikmati kemudahan gelembung pelancongan menerusi Projek Rintis Langkawi diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Ujian pengesanan itu sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen yang dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas serta ujian pengesanan kendiri di tempat saringan di lapangan terbang.

Dalam pada itu Nancy berkata, platform Mycraftshoppe dilihat sangat bertepatan dan selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dilancarkan kerajaan pada 19 Februari lalu.

"Kraftangan Malaysia mewujudkan inisiatif platform digital bermula dengan Facebook e-Kraf Bazar dan seterusnya platform e-marketplace bagi membantu usahawan dan pengusaha kraf tempatan mempromosi serta memasarkan produk kraf secara atas talian.

"Ini sebagai usaha memastikan usahawan kraf terus kekal aktif semasa pandemik Covid-19 dan perlu mengambil peluang menguasai teknologi bagi meningkatkan kualiti serta taraf hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:12 PM