MALAYSIA berada di kedudukan baik untuk mencatat pemulihan serta normalisasi aktiviti ekonomi.
MALAYSIA berada di kedudukan baik untuk mencatat pemulihan serta normalisasi aktiviti ekonomi.

PRESTASI ekonomi Malaysia pada suku ketiga menjadi penentu bagi mengukur sejauh mana pencapaian ekonomi negara bagi 2020, demikian menurut S&P Global Ratings.

Ahli Ekonominya bagi Asia Pasifik Vishrut Rana berkata, meskipun ekonomi tempatan dijangka pulih namun haluan ke arahnya kekal mencabar berikutan peningkatan kadar pengangguran.

"Kami jangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 2.0 peratus pada 2020 – satu angka tinggi berbanding jangkaan ramai. Namun, kami melihat kemajuan dari segi usaha membendung Covid-19 di Malaysia serta perkembangan membabitkan langkah sekatan pergerakan.

"Ini bermakna Malaysia berada di kedudukan baik untuk mencatat pemulihan serta normalisasi aktiviti (ekonomi) pada suku ketiga," katanya pada sesi webinar bertajuk Malaysia - Fiscal And Debt Risks Reflect Impact of u19 di sini, kelmarin.

Bagi tempoh 2021, 2022 dan 2023, S&P Global menjangkakan KDNK Malaysia meningkat masing-masing 7.5 peratus, 6.1 peratus dan 4.7 peratus.

Laporan baru-baru ini menyatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia menyederhana secara ketara kepada 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 3.6 peratus suku keempat 2019.

Mengulas selanjutnya, Vishrut menyifatkan suku ketiga 2020 juga penting bagi membolehkan agensi penarafan menentukan prestasi Malaysia tahun ini – sama ada berlaku normalisasi dalam kegiatan ekonomi dan perbelanjaan isi rumah, kes jangkitan baharu Covid-19 berkurangan serta perkembangan ekonomi.

Menyentuh risiko pemulihan tahun ini dan 2021, beliau berkata, ia berkait rapat dua faktor yang perlu dipantau – Covid-19 dan pasaran tenaga kerja tempatan.

"Pandemik itu baik di peringkat domestik dan global dijangka dibendung pada pertengahan 2021 apabila ada bantuan perubatan berkaitan. Ini dapat mengelak ia menjadi isu besar seperti sekarang.

"Faktor kedua membabitkan sepantas mana pasaran tenaga kerja pulih. Jika kadar pengangguran terus ketara, kemungkinan besar menyebabkan pendapatan isi rumah susut, sekali gus mengurangkan perbelanjaan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Sementara itu, penganalisis yang juga Rakan Sekutu Penarafan Institusi Kewangan Asia Pasifik syarikat itu, Nancy Duan berkata, walaupun tinjauan S&P Global yang menyemak semula tinjauan ke atas lima bank Malaysia kepada negatif berbanding stabil, bank tempatan yang berdepan Covid-19 dan cabaran berkaitan adalah lebih kukuh berbanding bank serantau lain.

"Berbanding bank serantau, kami percaya bank Malaysia berdepan cabaran berkaitan Covid-19 dari sudut pendirian lebih kukuh berdasarkan sejarah nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) rendah serta nisbah modal tinggi setakat akhir tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 7:30 AM