Stesen minyak Petronas kendalian PDB. FOTO NSTP
Stesen minyak Petronas kendalian PDB. FOTO NSTP
Nabil Basaruddin


PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 10 peratus kepada RM30.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Bagi tempoh sama, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) menurun sebanyak 18.1 peratus kepada RM1.12 bilion disebabkan oleh penurunan yang signifikan pada trend harga Mean of Platts Singapore (MOPS) yang dialami pada suku keempat yang menyebabkan untung kasar lebih rendah.

Selain itu, tahun kewangan yang sama turut menyaksikan PDB berkembang dari segi volum untuk perniagaan peruncitan, gas petroleum cecair (LPG) dan pelincir.

Sementara itu, bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2018, PDB merekodkan peningkatan satu peratus bagi jumlah jualan berbanding suku sama tahun lalu, yang mana ia adalah pertumbuhan berterusan sejak suku kedua 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, sejajar dengan jumlah jualan yang tinggi dan peningkatan dalam harga jualan purata, perolehan pada suku terbabit berkembang 10 peratus kepada RM7.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, berdasarkan kepada penurunan harga produk petroleum pada November dan Disember 2018, PBT syarikat berkenaan berkurang kepada RM70.1 juta.

“Suku keempat adalah tempoh yang mencabar dengan harga minyak mentah dan produk petroleum turun secara mendadak, memberi kesan kepada keuntungan syarikat.

“Kami berjaya meminimumkan kesannya dengan menekankan peningkatan jumlah jualan dan pada masa sama memfokuskan pengurusan inventori, bekalan dan kecekapan pengedaran serta mengoptimumkan belanja operasi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi tempoh tahun kewangan keseluruhannya, perniagaan runcit merekodkan peningkatan jumlah jualan sekitar 0.5 peratus yang disokong oleh kempen pemasaran dan peningkatan pengalaman pelanggan.

Selain itu, untung kasar menurun 2.1 peratus disebabkan penurunan harga produk petroleum pada suku keempat tahun lalu.

Perniagaan LPG juga mencatatkan pertumbuhan 1.2 peratus manakala, perniagaan pelincir pula turut meningkat sekitar 0.3 peratus.

Syed Zainal berkata, bergerak ke hadapan, syarikat akan terus berhati-hati dalam landskap semasa yang mencabar khususnya dengan ketidaktentuan harga minyak dan pengenalan harga minyak secara mingguan.

Katanya, syarikat akan terus mengukuhkan jaringan dan pengurusan perniagaan dengan memanfaatkan produk yang baharu dilancarkan baru-baru ini, Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive.

“Malah, kami juga akan meningkatkan usaha pendigitalan dan pemasaran serta meningkatkan perkhidmatan dalam memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan setia jenama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 7:35 PM