YASUDA (tengah) memperkenalkan dua model baru iaitu Honda CB1000R dan CB250R.
YASUDA (tengah) memperkenalkan dua model baru iaitu Honda CB1000R dan CB250R.
Lizam Ridzuan


BOON Siew Honda (BSH), pengedar utama motosikal jenama Honda di negara ini melancarkan dua model baru iaitu CB1000R dan CB250R yang bakal berada di pasaran mulai bulan depan.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keiichi Yasuda berkata, pengenalan model Neo Sports Cafe itu seiring dengan peningkatan permintaan terhadap segmen motosikal jalanan berkuasa tinggi di Malaysia.

“Jentera ini menawarkan gaya yang sofistikated dengan prestasi menakjubkan serta rekaan dan perincian tradisional Jepun untuk tampil unik,” katanya pada majlis pelancaran di Sepang, hari ini.

Bagi model CB1000R, ia didatangkan dengan enjin 998cc sejukan cecair DOHC empat silinder dengan kuasa 145PS pada 7,500 rpm dan daya kilas 104Nm pada 8,250 rpm.

Ciri lain yang terdapat pada model ini ialah lampu hadapan, belakang dan nyalaan siang (DRL) LED, fork hadapan boleh laras Showa, brek cakera dengan ABS dua saluran dan tangki bahan api 16.2 liter.

CB1000R didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Hitam Graphite dan Merah Chromosphere Candy dijual pada harga RM74,999.

Bagi CB250R ia dilengkapi enjin 250cc sejukan cecair DOHC silinder tunggal mampu menjana kuasa 28PS pada 9,000 rpm dan daya kilas 23.3Nm pada 8,000 rpm.

Berat jentera sekitar 145 kilogram (kg) memudahkan ia dikawal terutama dalam kawasan bandar dengan paparan meter LCD untuk maklumat perjalanan dan motosikal.

CB250R dijual pada harga RM22,999 dengan tiga pilihan warna iaitu Perak Bullet Matt, Hitam Graphite dan Merah Chromosphere Candy.

Semua harga adalah atas jalan tanpa insurans didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 5:03 PM