KEMPEN Coffee Break Petronas pada 13, 23 dan 24 Jun ini.
KEMPEN Coffee Break Petronas pada 13, 23 dan 24 Jun ini.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) kembali menganjurkan Kempen Coffee Break Petronas sempena sambutan Hari Raya tahun ini bagi menggalakkan pemandu di jalan raya untuk berehat dan menyegarkan diri seketika sebelum meneruskan perjalanan pulang ke kampung masing-masing.

Pada kali ini, pemandu yang berhenti di mana-mana 150 stesen Petronas yang mengambil bahagian akan diberi kopi dan makanan ringan secara percuma untuk membantu mereka kekal segar serta lebih berhati-hati di jalan raya bagi perjalanan sebelum dan selepas raya iaitu pada 13, 23 dan 24 Jun 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, kempen terbabit diharap dapat menggalakkan pelanggan untuk berehat ketika perjalanan panjang bagi memastikan mereka kekal berhati-hati.

“Keselamatan jalan raya adalah salah satu keutamaan dan kami berharap orang ramai akan sampai ke destinasi dengan selamat bagi meraikan perayaan bersama insan tersayang melalui kempen ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kempen Coffee Break adalah antara kempen keselamatan jalan raya utama PDB yang bertujuan untuk memberi peringatan kepada pemandu agar kekal selamat di jalan raya terutama pada musim perayaan yang biasanya mencatatkan jumlah pengguna jalan raya lebih tinggi.

Sebagai tambahan kepada pemberian Nescafe, pengguna kenderaan juga akan menikmati tawaran lain dari rakan kempen termasuk keropok Julie’s Butter, keropok Miaow Miaow, pelbagai snek oleh Desa Southern Agency Sdn Bhd, croissant Munchworld 7Days, gula-gula Hudson’s dan Himalaya Sports, snek ikan IKA serta baucar dari Lazada dan Dunkin’ Donuts.

Beliau berkata, PDB turut memperkenalkan #CoffeeBreak Challenge melalui aplikasi mudah alih Katsana’s DriveMark di mana pengguna dengan pemanduan berhemat akan berpeluang memenangi mata Mesra bernilai RM300 untuk menggalakkan pemanduan selamat.

Menurutnya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya akan mengadakan program khidmat nasihat bagi mendidik orang ramai mengenai tips keselamatan jalan raya bersempena kempen terbabit.

“Kempen ini juga akan menyaksikan pemilik kereta Proton dan Perodua menerima pemeriksaan kenderaan percuma untuk memastikan kereta mereka berada dalam keadaan terbaik bagi pemanduan jarak jauh serta pemeriksaan kesihatan individu percuma oleh St John Ambulance Malaysia di stesen PETRONAS terpilih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 10:13 AM