Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sektor pembinaan negara mencatatkan pertumbuhan sekitar lapan peratus pada separuh pertama tahun ini yang dirangsang oleh projek pembinaan daripada aktiviti kejuruteraan awam yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor itu dilihat mula menunjukkan prestasi positif sejak suku pertama 2016 dengan kadar 6.5 peratus, sekali gus membuktikan ia segmen berpotensi tinggi.

Beliau berkata, bagi subsektor bangunan kediaman, ia terus berkembang kepada tujuh peratus pada tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 4.9 peratus pada tahun lalu disumbangkan oleh projek pangsapuri mewah dan rumah mampu milik di sekitar Lembah Klang serta Johor.

“Jumlah nilai keseluruhan pembinaan meningkat 9.7 peratus kepada RM35 bilion membabitkan 9,572 projek pada tahun ini berbanding 11.1 peratus dengan nilai RM31.9 bilion meliputi 10,043 projek pada 2016.

“Pertumbuhan memberangsangkan ini didorong dua segmen utama dalam sektor pembinaan iaitu projek rumah mampu milik dan kejuruteraan awam,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Utama Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya, Ratna Mahyuddin pada majlis perasmian dan pembukaan Pameran Seni Bina, Hiasan Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX 2017) Ke-18, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) Datuk Seri Dr Amer Hamzah Mohd Yunus, Presiden Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) Ezumi Harzani Ismail, Penganjur Bersama dan Presiden CIS Network Sdn Bhd Datuk Vincent Lim serta Pengarah Festival Arkitektur Kuala Lumpur (KLAF) Ang Chee.

ARCHIDEX 2017 yang berlangsung sepanjang empat hari bermula semalam hingga 22 Julai ini bakal menampilkan 550 pempamer dari seluruh negara dan antarabangsa seperti Australia, Austria, China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura, Switzerland, Taiwan, Thailand, United Kingdom, Vietnam dan Hong Kong.

Ezumi berkata, pameran berkenaan dijangka bakal menarik 36,000 pengunjung dari sekitar rantau ini termasuk industri profesional, dijangka berkunjung dan melihat pelbagai penyelesaian inovatif dalam bidang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 4:39 AM