SMART ATTENDANCE SYSTEM membolehkan pelajar melihat atau mengesan kehadiran mereka ke kelas menggunakan aplikasi berasaskan web menggunakan telefon bimbit. FOTO NSTP
SMART ATTENDANCE SYSTEM membolehkan pelajar melihat atau mengesan kehadiran mereka ke kelas menggunakan aplikasi berasaskan web menggunakan telefon bimbit. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah

PENGGUNAAN kertas bagi mencatat rekod kehadiran ke kelas kini dianggap sudah tidak lagi relevan. Bagi menyaingi perkembangan teknologi semasa, pelajar tahun akhir dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Nurul Husna Mohd Fauzi, 25, membangunkan satu sistem bagi menggantikan kaedah manual iaitu Smart Attendance System.

Pelajar Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat) itu berkata, sistem itu menggunakan teknik pengecaman wajah setiap kali pelajar menghadiri kelas tanpa perlu menggunakan kertas untuk menandakan kehadiran seperti yang diguna pakai di UUM sekarang.

Menurutnya, kaedah itu bukan saja dapat mengelak berlaku penipuan kehadiran, malah secara tidak langsung turut membantu dalam penjimatan penggunaan kertas dan menjaga alam sekitar.

“Sistem ini masih dalam pembinaan dan diharapkan dapat diguna pakai dalam masa terdekat memandangkan kaedah pengecaman wajah adalah satu langkah penting bagi meningkatkan serta memudahkan pengesanan kehadiran pelajar ke kelas.

“Membangunkan prototaip ini bukan suatu yang mudah dan banyak cabaran dilalui kerana sistem ini memfokuskan kepada teknik pengecaman muka setiap pelajar,” katanya.

Projek Smart Attendance System itu diselia pensyarah, Dr Noradila Nordin dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC).

NURUL HUSNA (kanan) bersama Dr Noradila menunjukkan pingat perak yang dimenangi menerusi projek Smart Attendance System. FOTO NSTP
NURUL HUSNA (kanan) bersama Dr Noradila menunjukkan pingat perak yang dimenangi menerusi projek Smart Attendance System. FOTO NSTP

Dr Noradila berkata, Smart Attendance System membolehkan pelajar untuk melihat atau mengesan kehadiran mereka ke kelas dengan menggunakan aplikasi berasaskan web.

Malah, pelajar boleh menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk mengesan lokasi dan cap waktu, seterusnya menggunakan kamera telefon bimbit bagi merakamkan wajah yang akan digunakan untuk membandingkan dengan gambar pelajar di pangkalan data bagi mendapatkan gambar sama.

“Sekiranya gambar yang serupa ditemui, pelajar berkenaan akan ditandakan sebagai hadir pada kelas berkenaan.

“Nurul Husna menunjukkan minatnya dalam meneruskan projek ini yang akan merangkumi aspek keselamatan pada aplikasi berasaskan web, kepelbagaian jenis ketepatan muka dalam pengiktirafan algoritma dan memastikan aplikasi berasaskan web ini sedia untuk digunakan,” katanya.

Smart Attendance System merangkul pingat perak pada Pameran Innovative Research, Invention and Application (I-RIA) 2019 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, Sintok, Kedah baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 9:11 AM