PRESIDEN Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir.
PRESIDEN Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Pengalaman Malaysia menganjurkan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) mendapat kepercayaan Litar Antarabangsa Sokol di Kazakhstan yang mahu menggunakan kepakaran tenaga kerja Malaysia untuk penganjuran pusingan kelapan MotoGP di negara itu, pertengahan Jun ini.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, pihaknya menjangkakan seramai 400 tenaga kerja akan dibawa ke sana, sekali gus jumlah paling besar akan disertai tenaga kerja tempatan di luar negara.

Jelas Mokhzani, semua tenaga kerja pakar itu adalah daripada pihaknya dan pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Trek ini di luar Almaty dan pemilik trek (Sokol) meminta kita memberi, berkongsi tenaga kerja dan kepakaran yang kita ada.

"Dulu, ketika kali pertama kita anjurkan F1 (Formula Satu) pada 1999 di SIC (Litar Antarabangsa Sepang), kita dapat dorongan daripada pegawai dari Litar Estoril (Portugal).

"Malah pegawai kita pernah pergi ke tempat (negara) lain apabila F1 kali pertama dianjurkan di litar baharu. Sekarang ini, kita dijemput untuk menolong satu lagi litar baharu," kata Mokhzani ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MAM, hari ini.

Jelas beliau, kini pihaknya dalam proses mengkaji sama ada cukup atau tidak pegawai dan kakitangan diperlukan untuk menggalas tugas seperti marshal, steward dan tugasan lain.

"Ia seperti kita membawa seluruh kepakaran di SIC ke sana (Sokol). Dijangkakan mereka akan ke sana tidak sampai seminggu dan kita buat ini, untuk berkongsi pengalaman dengan pihak di sana supaya pada satu masa nanti, mereka dapat menguruskan litar itu," katanya.

Litar Sokol yang mengikat perjanjian selama lima tahun dalam kalendar MotoGP, sepatutnya menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada tahun lalu, namun dibatalkan kerana belum siap sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 7:29 PM