SYARIFUDDIN akan beraksi di GP San Marino minggu ini. FOTO MTHelmets-Msi
SYARIFUDDIN akan beraksi di GP San Marino minggu ini. FOTO MTHelmets-Msi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman optimis untuk memberikan yang terbaik bagi menebus kembali kesilapan di perlumbaan GP Catalunya minggu lalu di Grand Prix San Marino Ahad ini.

Syarifuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Damok yang baru saja selesai sesi ujian Moto3 di Catalunya Isnin lalu, mengharapkan keputusan yang lebih baik dapat dilakarkan olehnya kali ini.

Dia yang mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi di Catalunya bertekad untuk tampil dengan aksi yang lebih baik di San Marino.

"Saya perlu ambil apa yang berlaku di Catalunya sebagai pengalaman yang baru buat saya.

"Saya perlu terus berkerja bersama dengan pasukan, dan lebih bekerja keras. Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar," katanya.

Selain Damok akan turut beraksi di San Marino dalam perlumbaan Red Bull Rookies adalah Danial Syahmi dan Hakim Danish yang turut positif untuk mempamerkan aksi terbaik di Misano hujung minggu ini, yang juga pusingan akhir untuk perlumbaan berkenaan.

Pelumbaan ke-12 itu akan berlangsung di Litar Misano Marco Simoncelli, San Marino, litar yang mempunyai kepanjangan 4.23km dengan 10 selekoh kanan dan enam selekoh kiri.

Pusingan di Misano akan menyajikan tiga perlumbaan berbeza iaitu MotoGP, MotoE dan juga Red Bull Rookies.

Untuk rekod, Damok tiba di Misano dengan lima mata keseluruhan untuk kategori Moto3, manakala Danial Syahmi 40 mata dan Hakim Danish 67 mata dalam kategori Red Bull Rookies.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 5:30 PM