KARAMJIT (kiri) bersama pembantunya, Jagdev Singh di majlis penyampain anugerah Rally Champ Vantage MNRC di Hotel Sama Sama Sepang. FOTO Owee Ah Chun
KARAMJIT (kiri) bersama pembantunya, Jagdev Singh di majlis penyampain anugerah Rally Champ Vantage MNRC di Hotel Sama Sama Sepang. FOTO Owee Ah Chun
Zulkarnain Azman


Sepang: Legenda rali negara, Karamjit Singh mengucapkan selamat tinggal kepada Proton Gen2 yang selalu digunakannya sebelum ini apabila akan beralih menggunakan Perodua Myvi bagi menghadapi musim baharu Kejuaraan Rali MNRC 2023.

Pemandu berusia 60 tahun itu berkata, meskipun mengakui dirinya berat untuk menukar jentera yang telah banyak menyumbang bakti kepada dirinya, namun keputusan itu terpaksa dilakukan bagi kelangsungan kariernya.

"Saya sebenarnya peminat Proton dari 1988 dan sehingga sekarang memang saya memandu Proton tetapi sayangnya kami tidak menerima sokongan daripada Proton. Saya daripada tahun 2017, membeli dan membelanjakan lebih RM500,000 wang sendiri (untuk mengubahsuai kereta Gen 2) sehingga terpaksa keluarkan semua duit persaraan.

"Memang nak cari penaja untuk membuat kereta baharu... 'boss' saya pun kata 'kenapa tidak lupakan Proton'. Lagipun kereta rali (pada waktu ini) memang menggunakan kereta kecil seperti saiz Myvi kerana senang serta kurang berat untuk dipandu.

"Jadi saya kita cuba, mana tahu Perodua akan memberikan sokongan kepada kita dan sebab itulah kita nak tukar kepada Perodua. Walaupun begitu, saya sebenarnya 'sayang' nak tukar kerana saya peminat Proton, tetapi apa boleh buat dan terpaksa tukar jenama," katanya.

Karamjit berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan kemenangan Kejuaraan Rali MNRC 2022 di sini, hari ini.

Untuk rekod, pada musim lalu, Karamjit bersama pembantunya, Jagdev Singh muncul juara keseluruhan Kejuaraan Rali MNRC 2022 dengan menggunakan jentera Proton Gen 2 yang berusia 15 tahun.

Dalam pada itu, Karamjit turut mengumumkan perancangannya bagi kalendar 2023 untuk Cisco Racing yang mana pasukannya itu dijadual menyertai Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) dan perlumbaan di Indonesia.

"Kami ada perancangan yang bagus... mahu menyertai perlumbaan di Indonesia iaitu 10 rali di Indonesia dan empat di Malaysia. Selain itu, kami berharap dapat menyertai beberapa pusingan di Asia Pasifik.

"Saya sertai empat pusingan di Indonesia tahun lalu dan mereka ada meminta saya untuk kembali bersaing kerana mereka mahu belajar daripada saya selain menjadikan saya sebagai tanda aras kepada anak muda di sana.

"Sudah tentu, rali adalah sesuatu yang saya gemari dan mungkin menyertainya bersama salah sebuah pasukan Indonesia nanti. Ada beberapa pasukan menawarkan tempat kepada saya, namun saya belum putuskan dan akan tetapkan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 5:56 PM