PELANGGARAN antara Hamilton dan Alonso di GP Belgium. FOTO AFP
PELANGGARAN antara Hamilton dan Alonso di GP Belgium. FOTO AFP
AFP

Spa Francorchamps: Lewis Hamilton gagal menamatkan perlumbaan di Grand Prix (GP) Belgium dan digelar 'bodoh' oleh Fernando Alonso selepas kedua-dua pemandu itu bertembung pada pusingan pembukaan ketika bertarung untuk kedudukan kedua.

Alonso dari pasukan Alpine yang juga juara dunia dua kali, memulakan perlumbaan di petak ketiga manakala Hamilton, juara tujuh kali dari Mercedes, berada di sebelahnya untuk petak keempat.

Alonso membuat permulaan yang baik untuk berada di kedudukan kedua selepas memintas pelumba Red Bull, Sergio Perez manakala Hamilton melonjak ke tempat ketiga dan cuba memintas pemandu Sepanyol itu.

Akhirnya mereka bertembung, dengan jentera Hamilton terangkat di udara dan tersadai di tepi litar sekali gus menamatkan rekodnya berjaya menghabiskan semua perlumbaan tahun ini.

"Satu tindakan yang 'bodoh' menghampiri dari bahagian luar. Kami mempunyai peluang yang baik tetapi dia hanya tahu bagaimana untuk memandu dan meluru ke depan," kata Alonso.

Steward perlumbaan menilai kejadian itu dan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut.

Alpine berkata kereta Alonso kelihatan tidak mengalami sebarang kerosakan namun Hamilton meneruskan separuh pusingan sebelum memperlahankan dan berhenti selepas jenteranya berasap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 10:45 PM