QUARTARARO sedia berdepan cabaran pelumba Ducati di Mugello. FOTO AFP
QUARTARARO sedia berdepan cabaran pelumba Ducati di Mugello. FOTO AFP
AFP

Mugello: Ducati akan turun ke Mugello untuk perlumbaan MotoGP Ahad ini dengan berbekalkan semangat prestasi terkini dan sejarah di litar berkenaan.

Pengeluar jentera dari Itali itu, yang mana menganggap Mugello sebagai laman sendiri, memenangi tiga perlumbaan terakhir Grand Prix (GP) Itali dan Jack Miller pula meraih dua kejuaraan terakhir di Sepanyol dan Perancis.

Rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia pula berada di kedudukan kedua keseluruhan.

Pelumba Perancis, Fabio Quartararo mendahului kedudukan keseluruhan namun dia diekori rapat oleh pelumba Ducati.

Miller dari Australia, yang minggu ini menyambung kontrak sehingga hujung 2022, berada di kedudukan keempat seorang lagi penunggang Duati, Johan Zarco dari pasukan Pramac di tempat ketiga.

Perlumbaan tahun lalu di Mugello dibatalkan disebabkan Covid-19 namun Ducata yang berpangkalan di Bologna, muncul juara pada 2017, 2018 dan 2019 serta sentiasa menaiki podium sejak 2015.

Bagaimanapun, Quartararo percaya dia mampu menghancurkan parti Ducati di Mugello walaupun sedar jentera Yamaha bakal berdepan defisit kelajuan melalui laluan lurus satu kilometer.

"Pada laluan lurus kami tahu ia bukan kelebihan buat kami tapi banyak selekoh di sana dan selekoh paling laju akan memberi kelebihan buat kami.

"Kami harus melalui hujung minggu ini sama seperti hujung minggu sebelum ini. Tidak mahu memikirkan mengenai tiga kemenangan terakhir Ducati atau laluan lurus di sini.

"Hanya terus berentap, kekalkan dengan kelajuan kami dan kita akan saksikan Ahad ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 1:49 PM