OLIVEIRA menjulang trofi dimenanginya. FOTO AFP
OLIVEIRA menjulang trofi dimenanginya. FOTO AFP
AFP

Montmelo: Pelumba Portugal, Miguel Oliveira menafikan cabaran hujung saingan Johann Zarco untuk memenangi Grand Prix (GP) Catalunya, hari ini.

Pelumba Australia, Jack Miller meraih podium ketiga selepas pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo dikenakan penalti tiga saat kerana terbabas dari trek beberapa pusingan sebelum berakhir perlumbaan.

"Segala-galanya sangat sukar. Saya cuba mengawal penggunaan tayar dan terus bertenang apabila Fabio memberi tekanan kepada saya," kata Oliveira yang beraksi bersama KTM.

"Saya terus tenang apabila dia memotong saya. Kemudian saya lihat ada peluang di laluan lurus dan kembali memotongnya semula. Ia adalah perlumbaan yang sempurna.

Quartararo dan Miller pada satu ketika memimpin saingan namun kedua-duanya berdepan masalah.

Quartararo dikenakan penalti tiga saat selepas terbabas bersama jentera Yamaha empat pusingan sebelum berakhir perlumbaan.

Pelumba Perancis itu masih mengungguli kedudukan teratas pelumba namun Zarco yang beraksi bersama pasukan satelit Ducati, Pramac, kini hanya ketinggalan 17 mata.

Miller naik di tangga ketiga mengatasi rakan sepasukannya di Ducati, Francesco Bagnaia yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 9:03 PM