AZEEM sedang berada pada tahap terbaik ketika ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
AZEEM sedang berada pada tahap terbaik ketika ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mempunyai sekurang-kurangnya empat lagi kejohanan di Amerika Syarikat (AS) dalam usahanya memburu catatan masa di bawah 10s sekali gus layak secara merit ke temasya Olimpik Paris.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu sekali lagi akan turun beraksi Sabtu ini dalam acara 100 meter (m) di kejohanan LSY Invitational di Baton Rouge, Los Angeles.

Selepas itu dia dijadualkan beraksi di Kejohanan SEC di Gansville, Florida dari 9 hingga 11 Mei, NCAA Preliminaries, Lexington (22-25 Mei) dan Kejohanan NCAA, Eugene Orlando (5-8 Jun) sebelum kembali ke tanah air menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dari 14-16 Jun ini.

Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard ketika ditemui berkata, pihaknya akan terus memantau pencapaian Azeem dengan mana dia berpeluang cerah untuk layak ke Paris sama ada menerusi catatan masa atau berdasarkan kedudukan ranking sebelum penghujung Jun nanti.

Katanya, Azeem berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan rankingnya dengan muncul juara di Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun ini.

"Ada beberapa lagi kejohanan yang Azeem akan sertai dan kami harap Azeem akan berlari lebih pantas sebelum dia kembali ke Malaysia.

"10.31s yang dicatatnya baru-baru ini adalah satu isyarat yang baik apabila dia menunjukkan peningkatan berbanding catatan 10.44s yang dilakukan sebelum ini.

"Jadi, kami berharap apabila Azeem tamat kejohanan terakhir di Amerika Syarikat, dia boleh menyertai Terbuka Malaysia. Apapun, saya meletakkan harapan cukup tinggi Azeem mampu capai 10s di AS," kata Ballard.

Sebagai rekod, pada Ahad lalu, Azeem melakar rekod peribadi terbaik tahun ini dengan mencatat masa 10.31s dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan satu pada Kejohanan Tiger Track Classic di Alabama, AS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:53 PM