SARAWAK menaruh harapan kepada 16 petinju muda iaitu terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita. FOTO Ihsan Persatuan Tinju Sarawak
SARAWAK menaruh harapan kepada 16 petinju muda iaitu terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita. FOTO Ihsan Persatuan Tinju Sarawak
BERNAMA

Kuching: Edisi ke-21 temasya Sukan Malaysia (Sukma) menjadi pentas terbaik bagi tuan rumah Sarawak untuk menamatkan penantian muncul juara keseluruhan acara tinju, kata Presiden Persatuan Tinju Sarawak (Saba) Datuk Rahman Lariwoo.

Beliau berkata berdasarkan rekod, Sarawak tidak pernah muncul juara acara tinju sejak temasya dwitahunan kebangsaan itu diperkenalkan pada 1986.

"Harapan tahun ini, kita selaku tuan rumah (kelebihan), kita mahu pecahkan rekod untuk muncul juara keseluruhan acara tinju," katanya kepada pemberita di pusat latihan tinju di Stadium Sarawak, hari ini.

Pada temasya kali ini, Sarawak menaruh harapan kepada 16 petinju muda iaitu terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita yang menjalani latihan intensif sejak tahun lalu bagi menghadapi saingan di temasya yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.

"Untuk muncul juara keseluruhan, sekurang-kurang enam pingat emas (perlu dimenangi) dan saya percaya dan yakin yang kita mampu mencapainya," katanya.

Rahman yang juga naib presiden Persekutuan Tinju Malaysia berkata selain menjalani latihan pusat yang bermula awal tahun ini, para petinju akan mengambil bahagian dalam kejohanan Terbuka Sarawak pada 6 hingga 10 Mei ini.

"Selepas Terbuka Sarawak, saya akan bawa mereka ke Sekolah Sukan Trang di Thailand, kemudian ke Tanjung Pinang di Indonesia iaitu tempat petinju terbaik dari Kalimantan berkumpul dan akhir sekali ke Baguio City di Filipina sebelum temasya Sukma bermula," katanya.

Beliau berkata skuad tinju Sarawak akan menyertai kejohanan Terbuka Perak di Ipoh pada Jun.

Pada edisi Sukma Kuala Lumpur 2022, Sarawak meraih dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam acara tinju.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 5:32 PM