AMINUDDIN (dua dari kanan) melancarkan NSSVC 2024 di Seremban semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
AMINUDDIN (dua dari kanan) melancarkan NSSVC 2024 di Seremban semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 2024 (NSSWC 2024) dijangka bakal menjanjikan saingan sengit apabila seramai 1,200 peserta tempatan dan antarabangsa bakal bersaing sesama sendiri memburu kejuaraan, yang bermula dengan pusingan pertama pada 27 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, cabaran pertama akan membabitkan pendakian Gunung Angsi Kuala Pilah pada 27 April ini.

Katanya, ia kemudiannya diikuti pendakian Bukit Melati Nilai (1 Jun), Gunung Tampin di Tampin (29 Jun), Bukit Penarikan di Jempol (20 Julai) dan Bukit Batu Sawa di Jelebu pada 10 Ogos depan.

"Berikutan sambutan terhadap aktiviti lasak ini menarik perhatian ramai apabila 1,200 peserta tempatan serta antarabangsa akan bakal mengambil bahagian, adalah dijangkakan ia bakal menyaksikan saingan sengit.

"Saya yakin dan percaya, NSSWC 2024 kali ini menarik perhatian ramai terutama dalam melihat kemampuan peserta berhadapan cabaran pendakian yang berliku dan mencabar," katanya pada Majlis Pelancaran NSSWC 2024, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini, petang semalam.

Menurut Mustapha, walaupun terdapat sebahagian kalangan peserta terutama tempatan mungkin sudah biasa dengan trek pendakian berkenaan, namun ia bukan suatu jaminan buat mereka mendominasi saingan.

"Hanya mereka yang mempunyai tahap kecergasan tinggi mempunyai kelebihan memenangi saingan," katanya yang berharap program berkenaan dapat memberi impak kepada budaya yang sihat di kalangan orang ramai khususnya di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:48 PM