Syafiq Aznan


Hangzhou: Kontinjen negara ke Sukan Asia 2022 membawa pulang enam pingat emas, lapan pingat perak dan 18 pingat gangsa sekali gus melepasi sasaran 27 pingat yang disasarkan sebelum ini.

Pencapaian itu menyaksikan kontinjen negara menduduki tangga ke-14 daripada 45 negara dari segi kedudukan keseluruhan.

Mengulas mengenai pencapaian itu, ketua kontinjen ke Sukan Asia 2022, Datuk Chong Kim Fatt mengakui keputusan yang diraih pada temasya di Hangzhou itu adalah cerminan kepada senario sukan hari ini.

Justeru, kontinjen negara mampu menyumbang lebih banyak pingat pada temasya antarabangsa yang akan datang dengan sokongan yang lebih baik daripada pihak kerajaan.

"Kami percaya seandainya beberapa sukan dapat diperkasakan dengan suntikan dana dan sokongan material serta moral daripada pihak Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan dan agensi seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa berkemampuan untuk memberi saingan bermutu tinggi dan dominan dalam beberapa disiplin tertentu.

"Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada sukan seperti pelayaran, skuasy, ekuestrian, karate dan olahraga yang menyinari bumi Hangzhou dengan kilauan pingat," kata Kim Fatt ketika merumuskan pencapaian Sukan Asia 2022 di sini, hari ini.

DATUK Chong Kim Fatt bercakap ketika sidang media kontinjen Malaysia Sukan Asia 2022, hari ini, FOTO ASYRAF HAMZAH
DATUK Chong Kim Fatt bercakap ketika sidang media kontinjen Malaysia Sukan Asia 2022, hari ini, FOTO ASYRAF HAMZAH

Sebagai rekod, kontinjen ke Sukan Asia 2022 membariskan 288 atlet adalah lebih kecil berbanding 417 atlet yang menyertai temasya 2018 di Jakarta-Palembang.

Disebabkan jumlah atlet tidak sebesar kontinjen ke Jakarta-Palembang 2018, nisbah atlet setiap pingat bertambah baik dengan satu pingat untuk sembilan atlet.

Dengan penyertaan 22 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan, sebanyak 13 jenis sukan dikenalpasti sebagai sumber pingat iaitu terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, e-sukan, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy dan wushu.

Namun berdasarkan sasaran ini, hanya hoki lelaki yang 'ke laut' apabila gagal mengutip sebarang pingat pada temasya kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 4:14 PM